Sabtu, 15 Jun 2013

Kartun Kelantan : Wokyoh, Samad, Said

Kadang-kadang, aku suka tengok kartun Kelantan. Said, Wok Yoh dan Samad. Tergelak lak lak lah bila tengok-tengok bahasa dia uncensor. Tapi bukan bahasa Kelantan. Bahasa apek Cina dalam sketsa ni. Sama ada produser tak sedar atau memang sedar, si apek mencarut 'kanina' bermaksud 'Fuck Your Mum' dalam bahasa Hokkien pada 2:38.


 

Jumaat, 14 Jun 2013

Sejarah Ipoh IV : Lahirnya Sebuah Bandar

Menurut tulisan Errington de la Croix pada tahun 1880, Ulu Kinta ialah kawasan di hulu Pengkalan Pegoh adalah kawasan pendalaman yang berkedudukan lebih jauh dari laut di mana kurang dikerjakan oleh pelombong yang lebih menumpukan perlombongan di kawasan hilir. Ia merupakan kawasan simpanan bijih timah masa hadapan yang pastinya sama banyaknya dengan mana-mana kawasan dalam negeri Perak. 

De la Croix menyebut bahawa lombong-lombong utama di Ulu Kinta terletak di Sungai Pari sehingga Sungai Chamar (Chemor) dan menggaji 66 pekerja Cina. Mereka melombong dengan cara mendulang. Mereka didapati cukup berpuas hati dengan sekadar mendulang di sungai-sungai. Menurut laporan, seseorang yang mendulang beberapa jam di sungai-sungai itu mampu mengutip 15 kati bijih timah yang bernilai $2.

Pada buku McNair tahun 1878 pula, berdasarkan peta JWW Birch, terdapat dua penempatan bersebelahan di pinggir sungai  di Ulu Kinta iaitu 'Epu' dan 'Palau' yang membawa maksud Kampung Ipoh dan Kampung Paloh.

Kampung Ipoh disebut sebagai perkampungan orang Sakai manakala Kampung Paloh sebahagiannya dihuni orang-orang Melayu. Walaupun kawasan Kampung Paloh itu sebenarnya meliputi beberapa buah kampung termasuk Kampung Ipoh.

Kampung Ipoh dinamakan sempena sebatang pokok Ipoh atau Upas yang tinggi, kelihatan dari sungai. 

Tempat pendaratan pertama di Kampung Paloh ialah di kawasan yang hari ini letaknya lorong tepi sungai yang menghubungkan Jalan Sultan Iskandar dan Masjid Panglima Kinta.

Che Hussin dari keluarga Laksamana membina kubunya di sini yang pada ketika itu merupakan had penghujung boleh dilalui kapal di Sungai Kinta. Deretan rumah telah dibina di sini pada tahun 1876. Kawasan pendaratan kedua juga dibina di sini  dan di kawasan tersebut lah letaknya kini Jalan Laxamana.

Tempat pendaratan ketiga pula terletak di Kampung Mesjid yang kini letaknya Wisma Taiko, berhampiran bar pertama di Negeri-Negeri Melayu bersekutu, FMS Bar. Masjid di sini telah dialih jauh pada tahun 1902 ke tempat bernama Bandar di Teluk Anson dan di atas tapaknya pernah terbina sebuah panggung wayang bernama Sun Cinema.

Di hulunya lagi, letaknya kawasan gunung batu kapur Gunung Cheroh, yang diselubungi misteri berkait dengan dunia jin dan bunian pada masa itu hingga ke hari ini.

Kawasan Ulu Kinta ini atau yang hari ini dikenali Mukim Hulu Kinta ini tertakluk sepenuhnya di bawah pentadbiran Datuk Panglima Kinta.

Pada tahun 1882, Gabenor Weld datang melawat Ipoh, yang dikenali sebagai 'perkampungan besar membangun' ini dan menemui dua ketua iaitu Datuk Muda Muhammad Yusuff dan Datuk Hussin.

"...dan orang ramai berhimpun di luar rumah dengan kumpulan muzik, panji-panji dan pertunjukan-pertunjukan. Isteri Datuk menjemput saya di tangga rumah dan membawa saya ke bilik yang disediakan - dengan kecantikan tabir sutera, berpermaidani dan tilam bersulam cantik. Saya berikan kerbau seekor untuk dikendurikan dan untuk orang Sikh, saya berikan kambing."

Ketika lawatan Weld, dua buah jalan sedang dibina di Ipoh. Ipoh - Kuala Kangsar dan Ipoh - Sungai Raia.

Kampung di Ipoh telah didiami beberapa keluarga Sikh yang terdiri dari anggota polis dan pengusaha kereta lembu. Penduduk Cina pula telah memiliki rumah tokong sendiri.

Pendatang Cina terawal di Ipoh ialah dari kalangan Cina Kantonis Gee Hin yang telah menerima kesepakatan dari perjanjian damai Perang Larut.

Kapitan Chin Ah Yam , seorang Kantonis Toi San dikatakan telah datang ke Ipoh dari Taiping untuk membantu menubuhkan asas komuniti Cina di Ipoh.

Pada tahun 1883, 15 pedagang Muslim termasuk orang Mendailing, bersama 5 syarikat perdagangan Cina menghantar petisyen bersama kepada Majistret Kinta, R.D. Hewett supaya melarang bot-bot dagangan runcit berdagang di Ipoh kerana merosakkan perniagaan mereka atas alasan undang-undang seumpamanya telah terpakai di Batu Gajah dan beberapa tempat lain.

Pada tahun 1884 bermulanya perubahan drastik Ipoh perpindahan berlaku dari Taiping setelah siapnya jalan baru Taiping- Kuala Kangsar-Ipoh yang berhujung di pinggir Sungai Kinta bertentangan Kampung Ipoh.

De Morgan mengesahkan bahawa Hugh Low menyebut Ipoh sebagai pusat orang melayu terbesar di Lembah Kinta.

"Kampung tersebut menempatkan beberapa kilang melebur timah dari bijih yang diperolehi dari lombong-lombong berdekatan. Ke arah utara, sungainya sukar dimudiki terutamanya pada musim kering (Februari hingga September)."

Keluarga Datuk Panglima Kinta telah mendiami kawasan ini sekurang-kurangnya sejak zaman Datuk Panglima Ketiga yang dikenali sebagai Tok Paloh pada tahun 1770an lagi. 

Pada tahun 1884, Datuk Panglima Kinta Kesembilan, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang berpindah dari Pengkalan Pegoh ke Tanjong Rengkong (hari ini di kawasan Tasek) selepas kejatuhan Sultan Ismail, meninggal dunia.

Beliau digantikan oleh anak saudaranya Muhammad Yusuff, anak Datuk Panglima Kinta Kelapan, Datuk Ngah Abdul Lassam atau dikenali sebagai Tok Ipoh.

Oleh kerana Datuk Muhammad Yussuff berasal dari pasak Paloh  dia mempunyai peluang besar ke atas kuasa tanah di kawasan tebing sebelah barat Sungai Kinta dan di kawasan Kampung Paloh. Ibunya dari Kampung Kuchai, anak kepada Che Ngah Sana. Sepupu Yusuff sebelah ibunya mengahwini Che Hussin, keluarga Laksamana. Pada tahun 1894, gelaran Orang Kaya-Kaya Laksamana Perak diadakan dan dianugerahkan kepadanya dan dijadikan ahli Majlis Negara Perak.

Di bawah Datuk Panglima Kinta Kesepuluh inilah pembangunan Ipoh menjadi sangat pesat. Datuk Muhammad Yusuff menjawat jawatan Datuk Panglima Kinta  dari 1884 hingga meninggal dunia pada 1903. Beliau aktif membagunkan hartanah di Ipoh dan Paloh yang mana kebanyakannya adalah milik keluarganya. Pada tahun 1886, Hugh Low melaporkan, Ipoh mengalami pembangunan yang sangat pesat.

".. melihat pembangunan di tanah-tanah milik Datuk Panglima Kinta, yang dibina sendiri olehnya, dengan jalan lebar dan lurus, memang layaklah dia diberi pujian.."- Hugh Low

Kerajaan membina rumah rehat di Ipoh pada tahun 1886 dan membina mahkamah pada tahun 1888. Menjelang 1889, Ipoh telah menjadi bandar kedua terbesar di Kinta.

" Terdapat 227 buah rumah, 50 daripadanya dibina dari batu bata dan tanah dengan 175 rumah beratap genting atau atap besi. Tanah yang dibangunkan bandar ini dahulunya tanah kampung yang sebahagian besarnya dimiliki keturunan Datuk Panglima Kinta. Dengan kelulusan pihak percukaian dan pihak majistret, Datuk Panglima memecahkan tanah tersebut kepada lot-lot dan menjualnya kepada orang Cina dengan haga $25 setiap lot yang mana harganya harini telah meningkat menjadi $200 hingga $300 bagi setiap lot. " - Perak Government Gazette 1889 Bil. 333

Kawasan inilah yang kini dipanggil Pekan Lama atau Old Town bagi bandaraya Ipoh.

Siapnya Jambatan Hugh Low pada tahun 1890 membolehkan kereta lembu melintasinya dari dan membolehkan perjalan dari Lahat ke Gopeng.Serentak itu juga, jalan raya diturap sepanjang 11 batu menghubungkan Ipoh dengan Batu Gajah dan membolehkan pemanduan lancar dari Taiping hingga ke Batu Gajah.

Dalammasa yang sangat singkat, Ipoh telah mengatasi Gopeng menjadi bandar kedua terbesar di Perak selepas Taiping.

"Ipoh menjadi bandar yang layak dengan 340 rumah dan populasi kira-kira 4,000. Rumah atap telah digantikan dengan rumah batu di mana 20 lagi sedang dibina di kawasan ini yang mempunyai udara yang sangat segar. Sebuah panggung Cina didirikan pada tahun yang sama yang mampu memuatkan 1,000 penonton."- Perak Government Gazette 1892 Bil. 675-6

Panggung Cina ini dibina oleh Yau Tet Shin menjadikan ia tarikan kepada pelombong Cina dari kawasan berbatu-batu jauhnya. Disekitarnya menjadi pusat hiburan yang menyediakan rumah pelacuran, tempat menghisap candu, kedai arak, kedai judi dan pajak gadai. Inil menarik penghijrahan besar-besaran  kuli-kuli Cina di Lembah Kinta untuk bertumpu di Ipoh

Sebuah pasar dibina pada tahun 1891 di hujung Market Street di pinggir Sungai bagi memudahkan pembuangan sisa dan pengangkutan masuk dagangan melalui bot.

Ipoh menjadi bandar yang terlebih populasi dengan rumah papan dan pondok kayu dibina rapat dan ini telah mengakibatkan kebakaran besar pada 1 Jun 1892 yang memusnahkan 123 buah rumah iaitu sepertiga bandar ini dengan kerugian ditaksirkan antara $80,000 hingga $100,000.

Bulan berikutnya ketika Pemangku Residen Treacher melawat Ipoh, dia diserbu dengan permohonan bantuan kewangan untuk membangunkan semula rumah-rumah yang musnah dalam kebakaran tersebut. Selain itu, ketika Walker, Komandan Sikh Perak memeriksa Ipoh pada hujung 1892 dia terkejut apabila mendapati :

"... perkampungan Ipoh telah membesar menjadi sebuah bandar tak terkawal - 396 buah rumah dengan populasi seramai 4,000. Banci tahun 1891 memberikan angka 3,184. Jumlah rumah dan penduduk ini meningkat setiap hari. Rumah-rumah di sini lebih berkualiti binaannya dari mana-mana tempat di dalam negeri. Penghijrah semakin bertumpu ke sini. Sungainya dipenuhi perahu yang sarat dengan bahan binaan dan kawasan ini telah menjadi beraneka ragam".

Menurut sejarawan Muzaffar Tate, Ipoh hari ini atau lebih tepat, Pekan Lama (Old Town) adalah binaan  selepas peristiwa kebakaran 1892 tersebut. W.P. Hume, Pengutip Hasil Cukai Kinta adalah orang yang bertanggungjawab membina semula Ipoh hari ini selepas kebakaran besar tersebut.

Ini kerapa W.P. Hume bertanggungjawab menyeragamkan semula tapak rumah dan meluruskan semula lorong-lorong bagi bersesuaian dengan plan dan ia merupakan asas kepada susun atur Pekan Lama di Ipoh hari ini.

W.P. Hume juga menguruskan plan justifikasi semula susun atur rumah dengan jalan selebar 50 hingga 60 kaki dan memastikan pemilik tapak membayar lebihan tanah yang mereka peroleh selepas penyeragaman sebelum geran hakmilik dikeluarkan kepada lot-lot baru ini tanpa mengeluarkan wang pampasan atau pengambilalihan tanah.

"Tugas saya tidak mudah, saya tiada kuasa undang-undang untuk mengutip atau membayar wang serta merubah sempadan. Saya perlu bergantung kepada pengaruh sendiri dan keyakinan yang terinspirasi. Mujur tiada yang mempertikaikan malah pihak Audit meluluskan urusan tersebut."

Hanya setahun selepas itu, kawasan bandar Ipoh dan ciptaan Datuk Panglima Kinta Yusuff dan kawasan sekitarnya telah dihuni 11,000 orang penduduk. 

Di bandar Ipoh, separuh rumah atap nipahnya telah dirobohkan dan diganti dengan rumah batu dengan 136 telah disiapkan manakala 25 sedang dibina. Kos setiap rumah batu ini bernilai kira-kira $3,000.

Pada 20 Februari 1893, Residen Perak, Frank Swettenham melakukan kunjungan penting ke Ipoh. Dia memeriksa kawasan bandar dan pasar bersama-sama Pembantu Majistret E.Tranchell, melawat ke hospital dengan pakar bedah kanan daerah, Leftenan H.C Metcalfe dan memeriksa kerja-kerja keretapi bersama jurutera residen C.R. Hanson.

"Ipoh telah meningkat saiznya lima kali ganda dalam tempoh 2 tahun, kepantasan yang tertinggi dari mana-mana bandar di Semenanjung. Kini terdapat lebih 5,000 orang penduduk dalam bandar ini. Juga terdapat pekan, lombong, kampung dan dusun di seluruh kawasan 12 batu yang memisahkan Ipoh dan Batu Gajah. Antara Ipoh dan Batu Gajah, terdapat pergerakan kenderaan bertali arus termasuk pejalan kaki dan ditambah pula dengan kecemerlangan sistem keretapi." - Perak Government Gazette 1893 Bil. 156

Swettenham mengarahkan Majistret Daerah untuk meluluskan pembesaran pasar, dan penubuhan Lembaga Sanitari Ipoh. Pada tahun tersebut juga kerja-kerja pembinaan rumah rehat yang baru, balai polis baru dan sebuah Residensi dibuat. Pembinaan rumah kelab ditenderkan kepada seorang kontraktor Cina bernama Eng Soon.

Kelab, rumah rehat dan kuarters kerajaan dibina di atas tanah berhampiran stesen keretapi. Satu-satunya dari kalangan bukan orang Eropah yang memiliki rumah di sini ialah Datuk Panglima Kinta Yusuff. Manakala Residensi dibina di pinggir selatan Gunung Cheroh berhampirang lengkungan Sungai Kinta - sebuah kawasan yang mungkin dipilih sendiri oleh Swettenham kerana dia kerap kali menyebut bahawa pemandangan sungai dan lanskap di sini adalah yang tercantik yang pernah dilihatnya di seluruh Malaya.

Sementara itu, Lembaga Kebersihan Ipoh atau Ipoh Sanitary Board ditubuhkan pada 1894 dengan dipengerusikan oleh Pakar Bedah Daerah, Dr. C.H. Wheeler.Ahli yang lain pula ialah pembantu majistret H.L. Hulbert, ACP Leftenan Metcalfe, pembantu Penjaga Kaum Cina, Cowan, Datuk Panglima Kinta, Leong Fee, Yau Tet Shin dan J.F Ward sebagai setiausaha. 

Pada tahun tersebut juga, Majistret Daerah, J.B.M Leech mengusulkan untuk meluruskan Sungai Kinta yang melibatkan pemindahan Tokong Lama Paloh. Dia menemubual pembesar-pembesar dan pemimpin Cina tentang rancangan tersebut dan para peniaga-peniaga besar ini berbincang sesama mereka sebelum mengemukakan cadang mereka.

Pada tahun 1895, rumah-rumah di Hugh Low Street perlu dirobohkan untuk kerja pelebaran jalan kerana jalan di bahagian timur jambatan Hugh Low terlalu sempit, merbahaya dan pembinaan kaki lima rumah yang memasuki rizab jalan menyempitkan lagi keadaan jalan.

Dalam tahun 1894 kawasan yang bandar ditetapkan dibawah Lembaga Kebersihan Ipoh ialah jalan baru daripada kelab, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, rumah baru Datuk Muda Wahab, beberapa bendang di Jalan Gopeng, lintasan keretapi di Changkat Pari dan zon pemampan 200 ela dari jalan awam.

Pada September 1897, kawasan perbandaran Ipoh diluaskan dengan beberapa penanda sempadan antaranya laluan keretapi yang membelah Gunung Cheroh, jambatan di Sungai Pari, laluan baru kereta lembu ke Selibin dan 20 rantai selepas cantuman Sungai Pari ke Sungai Kinta.

Hartanah Ipoh menjunam pada tahun 1896 tetapi naik semula pada 1897 selepas kerja bekalan air siap. Air dari gunung menjadikan Ipoh sebuah bandar yang cukup menyegarkan. Selepas kerja bekalan air siap, cukai pintu dinaikkan sewajarnya.

Sebuah pejabat pos dan telegraf yang paling elok seumpamanya di Perak dibina pada 1897. 

Ipoh terus membangun dengan pesat di bawah Residen Perak E.W. Birch dari 1905 - 1910.

Hugh Low St. 1887, dibina oleh Datuk Panglima Kinta Yusuff.

Bersambung ke siri akhir..

Rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution dan Abdulrazak Lubis

FADLI MUHAMMAD

Sejarah Ipoh III : Serangan Mendailing

British menyedari kesilapan mereka memihak kepada Raja Abdullah sebagai Sultan Perak. Apabila diadakan pertemuan dengan para penghulu, rata-rata mereka menyebelahi Sultan Ismail. Untuk itu, Birch mengubah sokongannya dan bertindak untuk berlembut dan menyebelahi Sultan Ismail sebagai helah untuk memaksa Sultan Ismail menandatangani perjanjian yang masih belum di tandatanganinya.

Semasa Sultan Ismail berkuasa, baginda memansuhkan hak Raja Bendahara memungut cukai dan percukaian di Kuala Kinta ditiadakan. Tetapi selepas campurtangan British, hak tersebut dikembalikan tetapi Sultan Ismail enggan menggunakan Sungai Kinta lalu membina laluan gajah dari Papan ke Belanja setelah ia mendapati laluan tersebut lebih mudah.

Dari Belanja, hasil bijih timahnya diangkut ke Beruas dan melalui Beruas, lebih mudah untuk hasil timahnya dibawa ke laut untuk dieksport keluar. Sultan Ismail kemudian tinggal di Belanja sementara kaum keluarga dan orang-orang kanan baginda masih mendiami Pengkalan Pegoh.

Dalam bulan Mei 1875, Birch bersama rombongannya pergi ke Pengkalan Pegoh untuk memujuk Sultan Ismail tetapi baginda menolak pelawaan British dengan alasan anaknya sakit. Birch menyifatkan Uda Bidin sebagai seorang yang lembut budi bicara walaupun kelihatan Uda Bidin tidak senang untuk berurusan dengan orang Eropah.

Menurut Birch, Uda Bidin mendakwa dia mengenali Sultan Abdullah pertama yang memerintah dari tahun 1851 hingga 1857 (ayahanda Sultan Abdullah yang dilantik British) dan pernah menjaga gajah-gajah kebesaran diraja semasa zaman Sultan Abdullah I. Uda Bidin juga menjemput Birch untuk datang lagi pada bulan berikutnya untuk dibawa berjalan menaiki gajah ke kawasan pendalaman melalui Pengkalan Pegoh hingga ke Pelus dan sempadan Patani.

Birch mencerap persekitaran Pengkalan Pegoh dan mencatat aktiviti kumpulan penduduk di situ. Mereka didapati memiliki sawah-sawah padi, lombong-lombong dan tanaman-tanaman tebu. Sultan Ismail didapati memiliki gajah-gajah yang disewakan untuk mengangkut hasil bijih timah di Gopeng dan Sungai Raia dengan kadar $2 bagi 100 gantang dan $2.50 bagi 4 pikul.

Untuk memberi tekanan kepada Sultan Ismail, kutipan cukai di Kuala Kinta atas nama Sultan Abdullah menjadi terlalu tinggi sehingga $16 untuk beras. Harga beras di Gopeng mencecah $100 setiap koyan dan pernah mencecah $200. Pada zaman itu, $200 boleh digunakan untuk membina jalan sepanjang 1 batu! Peningkatan harga ini disebabkan oleh cukai demi cukai yang dikenakan sepanjang laluan di Sungai Kinta. Akibatnya perlombongan di Gopeng menjadi lumpuh.

Selain itu, pekerja Cina Hakka di bawah Chong Keng Kwee ke Gopeng yang dibawa Sultan Ismail dari Pulau Pinang pada tahun 1872, telah dirompak, dipukul dan dicederakan oleh orang-orang Sultan Abdullah menyebabkan Chong Keng Kwee mengadu kepada Birch.

Birch bimbang kerana kelesuan aktiviti perlombongan ini bakal merugikan British lalu memujuk Sultan Abdullah agar menyerahkan urusan mengutip cukai kepada British dan ini menimbulkan kemarahan Sultan Abdullah.

Pada 20.07.1875, Birch memaksa Sultan Abdullah menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut.

Akhirnya Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambil alihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah. Inilah yang mencetuskan pembunuhan Birch pada 2.11.1875 yang mendapat sokongan orang Melayu Perak termasuk pembesar jajahan Larut, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Makmor (kecuali Mendailing yang membantu British menawan Perak).

Pembunuhan Birch dikutuk sebagai ' tindakan pengecut' oleh web Mendailing.org :

The cowardly murder of J.W.W. Birch, the first British Resident to Perak, on Hari Raya day, November 2nd, 1875, at Pasir Salak in Lower Perak, gave rise to the Perak War of 1875.

dan

Ex-Sultan Ismail who was ousted by the Brtish through the disastrous Pangkor Treaty 1874, was known to have owned at least four mines, the most valuable being at Papan. Ex-Sultan Ismail's mines were given to Raja Asal by Swettenham as a reward for his military services in the Perak War. The Papan mines were described as "the most productive in the State" as well as "probably the richest tin mines in the Malay Peninsula."

Akibat pembunuhan ini, British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan pejuang-pejuang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. pemimpin mereka, Raja Asal diusir dari Selangor bersama pengikutnya dan sekumpulan Cina Hakka yang menyokongnya turut mengikut Raja Asal mundur ke Perak.

Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Datuk Maharaja Lela yang merupakan penghulu Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing ternama seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom.

Tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri. Baginda lari ke Kampung Kepayang (di Fair Park sekarang) dan menurut sumber orang kampung yang diceritakan kepada British, Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah dan meminta bantuan mereka untuk membantu beliau menentang orang British dan Mendailing tetapi orang Kampung Kepayang enggan membantu.

Baginda sangat kecewa kerana penduduk Kampung Kepayang telah berpaling darinya lalu bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa dia akan kembali memerintah negeri Perak. Baginda, Datuk Maharaja Lela, orang-orang kanan dan isteri-isterinya kemudian meredah hutan belantara ke kawasan Chemor.

Dari Chemor, mereka melintasi laluan belantara Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah melalui Baling.

Setelah berjaya mengusir Sultan Ismail dan pengikutnya dari Papan, lombong-lombong Sultan Ismail di Papan diserahkan kepada Raja Asal. Namun ini menimbulkan rasa tidak puas hati Gabenor Negeri-Negeri Selat yang mempertikaikan pemberian tersebut.

British dengan licik mendakwa hanya membenarkan Raja Asal mengusahakan lombong peninggalan Sultan Ismail dan bukannya membuka lombong-lombong baru. Ini kerana British menyedari bahawa kawasan Papan merupakan kawasan deposit bijih timah terkaya di Tanah Melayu pada waktu itu.

Raja Asal yang kecewa dikatakan membunuh diri namun warisnya menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan beliau meninggal pada 14.11.1877 kerana sakit tua dan dikuburkan di Pengkalan Kaca berhampiran Pengkalan Pegoh.

Orang Mendailing yang telah ada di kawasan-kawasan lombong di Kinta menyambut pengusiran Raja Asal dari Selangor dan mereka bergabung dengan orang Mendailing yang masuk bersama Raja Asal dan membantu Raja Asal yang membantu British memburu Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela. Ini menimbulkan kemarahan di kalangan Melayu Perak ke atas orang Mendailing.

Mengikut web Mendailing.org:

Kehadiran orang-orang Mandailing di Malaysia meledakkan peperangan di tiga negeri yang berlangsung selama 30 tahun. Dari Melaka, pelarian Mandailing mengungsi ke Sungai Ujong (Seremban), melombong/menambang mas sebelum terlibat dalam Perang Rawa, 1848. Mereka kemudian mengungsi ke tambang/lombong mas di Pahang, di mana mereka terheret dalam Perang Orang Kemaman (Perang Pahang, 1857-1863). Kemudian mereka coba menguasai tambang bijih timah di Selangor yang menjadi rebutan, sebelum mengepalai Porang Kolang (Perang Selangor, 1867-1873). Menjadi buruan orang Melayu Pahang, Bugis dan British, mereka melepaskan diri ke negeri Perak dan menjadi askar-askar upahan British dalam Perak War (1875-1876) menentang orang Melayu Perak. Sampai ke hari ini, keturunan "pengacau-pengacau" Mandailing masih dapat ditemui di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan di Perak. Mulanya sebagai pelombong, pedagang/peniaga dan askar upahan, mereka kemudian menjadi pentadbir (penghulu), pendidik dan forester.

Anak Raja Asal, Raja Bilah, kemudiannya telah menjadi Penghulu di Papan dan mengusahakan lombong warisan bapanya sehinggalah British mengharamkan relau semut yang mengakibatkan hutan-hutan menjadi gondol kerana ia menggunakan kayu keras dan menggantikannya dengan relau tongka. Ini menyebabkan Raja Bilah mengalami kerugian dalam mengoperasikan lombongnya.

Raja Bilah menjual lombongnya pada tahun 1889 walaupun harga timah naik mendadak kerana kerugian masih tidak tertanggung akibat hutang yang banyak. Raja Bilah menumpukan hanya pada kegiatan mengutip cukai, dan meninggal dunia pada tahun 1909.

Walaupun orang Mendailing banyak menjadi bahan pengkisahan di Kinta dan Kuala Lumpur, di kawasan Kinta, gelaran Panglima Kinta sentiasa milik orang Melayu Perak. Sejak Panglima Kinta ke-5, Ngah Ghafar meneroka ke Hulu Kinta dan Hulu Pinji dan menetap di Gunung Datuk, Tambun pada sekitar 1820an, aktiviti perlombongan orang Melayu menggunakan pekerja-pekerja Mendailing dan Jawa tidak pernah terganggu.

Peneroka Melayu Kinta telah pun meneroka melalui denai hutan masuk ke Hulu Kinta menelusur Tanjong Rengkong (kini Tasek) ke Gunung Temuan (kini kuari batu antara Bercham dan Tg Rambutan) Kinding hingga ke Jalong dan menghilir Sungai Kerdah untuk ke Pelus , Chegar Galah dan terus ke Hulu Perak dan Kedah. Semuanya kerana untuk mencari kawasan melombong.

Laluan ini juga dikatakan laluan purba dan telah digunakan sejak abad ke 6 lagi semasa zaman Srivijaya dan juga laluan darat pendalaman untuk ke selatan Semenanjung di zaman penguasaan Siam.

Kewujudan orang Melayu Perak di kawasan Hulu Kinta seawal itu sudah tentu diperkukuhkan dengan penempatan Datuk Panglima Kinta Ngah Ghafar pada tahun 1820an. Kira-kira 60 tahun kemudian, penguasaan Tok Lembang, dikenali saudagar kelian Tambun, ke atas laluan aktiviti perlombongan dan penempatan dari Tanjong Rambutan hingga ke Ipoh pada tahun 1880an membuktikan kawasan ini telah lama dihuni Melayu Perak. Tanjong Rambutan telah dikenali sebagai sebuah perkampungan orang Melayu sejak tahun 1870an lagi.

Tok Lembang menguasai aktiviti mengangkut bijih timah melalui jalan darat dengan menyewakan gajah antara Tanjong Rambutan dan Ipoh. Jeram-jeram di Sungai Kinta antara Kampung Kepayang hingga Tanjong Rambutan membuatkan pengangkutan menggunakan sungai adalah mustahil.

Ini bermakna, setelah serangan British dan Mendailing pada tahun 1875, Melayu Kinta telah terkepung kerana wujudnya wilayah orang Mendailing menguasai kawasan dari Gopeng di pinggir Banjaran Titiwangsa hingga Papan di pinggir Banjaran Kledang.

Kampung Ipoh merupakan sebuah kampung orang asli yang terletak di dalam Kampung Paloh  telah dihuni sejak zaman Datuk Panglima Kinta Kedua dan Ketiga kita-kira 100 tahun sebelum itu. Mengikut data populasi tahun 1880, populasi orang Melayu dan orang asli di kawasan belantara Ulu Kinta (Mukim Hulu Kinta hari ini) ialah 4,000 dengan populasi Cina hanya 900 orang.

Bebalik kepada kisah pelarian Sultan Ismail dan Datuk Maharaja Lela, mereka telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell. Siam merupakan sahabat British. Mereka telah dibawa ke Singapura untuk dibicarakan dan alat kebesaran pertabalan ke negeri Perak telah dikembalikan.

Sultan Ismail dibuang ke Skudai bersama beberapa orang kanannya. Datuk Maharaja Lela dihukum mati. Datuk Sagor yang terlebih dahulu ditangkap di Kuala Kangsar telah pun dihukum mati.

Kekacauan akibat Perang Perak dan kesangsian Melayu Perak atas orang Mendailing yang membantu British memerangi kesultanan Perak. Maka berlakulah keganasan-keganasan akibat perbalahan ini dan ia dipulihkan sedikit setelah Raja Idris menjadi Sultan yang sah pada tahun 1887.

Hugh Low St 1887 menghala tenggara timur. Kelihatan Gunung Chabang di Spg Pulai.

Sultan Abdullah yang dibuang ke Seychelles bersama pembesar Perak yang lain meninggalkan takhta yang kosong dan dipangku oleh Raja Yusuf. Kemangkatan Raja Yusuf membolehkan Raja Idris menjadi Sultan Idris Shah yang terkenal sebagai sahabat baik British.

Bermulanya era Datuk Panglima Kinta Ke-10, Muhammad Yusuff yang mula bertugas pada tahun 1884, telah menjadi titik tolak pembangunan besar-besaran Ipoh sebagai sebuah bandar. Pada tahun tersebut juga, pemangku residen, Frank Swettenham memindahkan ibu pejabat pentadbiran Kinta dari Kota Baru ke Batu Gajah dan kekal hingga ke hari ini.

Tanda-tanda kemakmuran Kinta semakin jelas apabila bangunan-bangunan batu mula dibina di Papan, Batu Gajah, Ipoh, Lahat, Dipang dan Gopeng. Pada tahun 1889, pengeluaran bijih timah Kinta buat pertama kalinya melepasi pengeluaran di Larut dan semakin ramai pekerja Cina berpusu-pusu masuk ke daerah Kinta.

Menurut Swettenham, para pembesar Melayu di daerah Kinta adalah orang Melayu paling kaya di Tanah Melayu pada ketika itu. Sutera dan songket mahal di Terengganu dan Batubara di Sumatera ditempah oleh mereka. Mereka memiliki rumah besar, dan ladang kuda serta memiliki rumah sendiri di tanah suci Mekah.

Selain dari penduduk Melayu tetap di sekitar Ipoh yang secara tradisinya mengerjakan bendang dan lombong, terdapat juga orang Melayu yang menjadi orang sampan menjual barang dagangan dari hilir sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati saudagar-saudagar Melayu yang berkedai atas darat di Ipoh.

British menggalakkan orang Melayu Kinta bertani untuk memenuhi keperluan makanan pekerja Cina yang dikerah dilombong-lombong. Tetapi orang Melayu lebih memilih untuk bertani dan menyara hidup mereka sendiri dan membiarkan bendang tidak diusahakan beberapa tahun bagi menyuburkan kembali tanah.

Kesempatan bertani diambil oleh Melayu luar terutamanya Mendailing kepada tanaman-tanaman yang diperkenalkan oleh British seperti kopi, limau, oren, lada hitam dan limau bali. Ini dibantu oleh langkah kerajaan negeri Perak membuka kawasan pertanian dengan mengiklankan tawaran tanah tidak lebih 500 ekar dengan premium sebanyak 30 sen untuk 2 tahun.

Namun keutamaan diberi kepada aktiviti perlombongan dan kerajaan negeri berhak mengambil semula tanah dengan membayar pampasan untuk dilombong dan ini membunuh aktiviti pertanian di Kinta beberapa tahun kemudian.

Orang Melayu Ipoh sebenarnya tidak lagi berminat untuk bertani. Perlombongan bijih timah memberi peluang kepada mereka mengambil upah membersih kawasan, membekal kayu-kayan, menjadi penyedia khidmat perahu, menjadi polis, tukang kayu dan pembina rumah yang menjajikan pulangan lumayan, selagi beras masih mampu dibeli.

Ini kerana, pada tahun 1885, British mendaftar kira-kira 500 lombong di mana 3 diusahakan oleh syarikat Eropah, manakala selebihnya ialah kawasan lombong orang Melayu yang mendakwa lombong itu milik mereka turun temurun. Akibatnya, British menetapkan bahawa lombong turun temurun yang tidak diusahakan selama 2 tahun akan dimansuhkan status milikan. Maka sebab itu, orang Melayu menyewakan tanah mereka kepada pelombong Cina dan Mendailing dan mengutip hasil komisen sahaja.

Bersambung..

Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis

FADLI MUHAMMAD

Khamis, 13 Jun 2013

Sejarah Ipoh II : Pengaruh Sultan Ismail

Tidak beberapa lama selepas Pulau Pinang ditakluk British, Kapten Glass menilai eksport timah tahunan Perak ialah 5,000 pikul yang sebahagian besarnya datang dari Kinta. Setelah perjanjian dengan Belanda tamat pada 1795, pengeluaran timah merosot.

John Anderson dalam laporan mengenai kepentingan ekonomi Perak pada tahun 1824 menyatakan terdapat 20 kampung dengan setiap kampung memiliki 10 hingga 50 rumah terdapat di Kinta, dari atas Kuala Chenderiang termasuk di pinggir Sungai Kampar dan Sungai Raia.

Semasa bangsa Eropah mula memasuki Kinta pada abad ke-19, mereka menemui banyak lombong jenis telaga lama yang memang tentulah berbeza dengan kaedah melombong orang Melayu pada masa itu. Orang Melayu memanggilnya Lombong Siam. A.Hale, Pemeriksa Lombong-Lombong menulis dalam tahun 1885 bahawa :

".. tradisi masyarakat setempat menyebut, pada zaman dahulu, Siam adalah pelombong di kawasan itu dan terdapat bukti kerja melombong dengan intensif telah dilakukan oleh seseorang dengan kaedah yang berbeza dengan yang digunakan oleh orang-orang Melayu tempatan."

Pengkaji kemudiannya menolak bahawa lombong tersebut dikerjakan oleh orang Siam. Tetapi Perak hakikatnya pernah diduduki Ligor pada tahun 1821 dan tidak mustahil Lombong Siam ini diusahakan secara kerahan tenaga bagi memenuhi tuntutan ufti Raja Siam."

Antara tahun 1800 hingga 1850, Ipoh masih belum dibuka dan Kampung Kepayang dan Kampung Paloh terus membangun dengan aktiviti tanaman padi dan melombong bijih timah. Pun begitu semakin banyak kawasan pendalaman seperti di Kantan, Chemor, Tanjong Rambutan, Ulu Pinji telah dilombong.

Orang-orang Cina yang dibawa masuk banyak menumpu ke kawasan Gopeng dan Teja. Pembukaan tanah untuk perlombongan oleh orang Melayu dengan skala besar dibuat oleh Kulup Riau.

Kulup Riau berketurunan Mendailing merupakan anak kepada seorang yang telah diberikan tanah untuk melombong di Jelentoh, Gopeng pada tahun 1861. Semasa pemerintahan Sultan Ali dari tahun 1865 - 1871, Haji Sulaiman dari Pulau Pinang membuat perjanjian dengan Kulup Riau untuk membekalkan tenaga kerja Cina. Mereka mengadakan perjanjian dalam urusan komisen jualan bijih.

Peta Pengkalang Pegoh



Apabila Penghulu Kampar, Tok Samah mengenakan cukai lebih tinggi di Kuala Dipang, Kulup Riau enggan membayarnya. Akibatnya, Tok Samah mengadakan sekatan di Sungai Kampar dan ini menyebabkan lombong Kulup Riau terpaksa ditutup.

Mereka kemudiannya membuat keputusan untuk mengangkut hasil timah keluar melalui Sungai Raia, lalu membuat laluan dari Gopeng ke Sungai Raia (Simpang Pulai).

Kulup Riau mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Ismail walaupun Raja Ismail adalah menantu Tok Samah. Kulup Riau membantu Raja Ismail mengembangkan aktiviti perlombongan di lombong Raja Ismail di Papan.

Raja Ismail naik menjadi Sultan Perak pada tahun 1871 setelah Raja Abdullah, pewaris takhta, tidak datang pada hari pertabalan. Majlis mesyuarat memilih Raja Ismail yang jawatannya sekadar Bendahara negeri sebelum ini menduduki takhta tanpa mengikut penggiliran sewajarnya.

Kulup Riau kemudiannya meminta bantuan Ah Quee membekal 300 orang pekerja Cina untuk mengusahakan lombong di Gopeng Hilir. Hasilnya yang lumayan membolehkan Kulup Riau membina jalan dari Gopeng ke Simpang Pulai sepanjang 16km untuk memudahkan aktivitinya.

Dia juga membawa masuk lebih 300 pekerja Mendailing untuk bekerja di lombongnya di Gopeng.

Hubungan baik Kulup Riau dengan Sultan Ismail tidak lama. Menurut Frank Sweetenham, Kulup Riau mula tidak senang dengan Sultan Ismail kerana Sultan Ismail mula bertindak merampas hasil bijih timah miliknya.

Kulup Riau yang mengusahakan lombong bijih timah di Gopeng dan membantu Raja Ismail di Papan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tok Samah, Penghulu Kampar yang mengenakan cukai hasil bijih Gopeng di Kuala Dipang dengan nilai yang tinggi.

Hubungan baiknya dengan menantu Tok Samah, Raja Ismail juga tidak lama kerana Raja Ismail setelah menjadi Sultan bertindak merampas hasil timahnya atas dasar cemburu. Tulisan Frank Swettenham mengenai Kulup Riau menyebut bahawa :

"Keizinan yang diberi Raja Abdullah kepada Raja Ismail untuk membuka lombong di Gopeng membuatkan Raja Ismail cemburu dengan kemewahan yang dikecapi Kulup Riau dan menghantar Raja Ngah dan orang-orangnya untuk menyerang Kulup Riau.."

Kisah Raja Ismail (yang kemudiannya menjadi Sultan) amat unik. Ini kerana dia telah dilantik menjadi Raja Bendahara (Perdana menteri) Perak pada tahun 1851 setelah keturunan Raja Bendahara terdahulu yang selayaknya tidak ada. Jawatan Raja Bendahara juga adalah jawatan yang diperturunkan. Bapa Raja Ismail, Raja Syed Hitam, berdarah raja kesultanan Siak di Sumatera Utara. Ibunya memang berdarah kerabat raja Perak dan merupakan anak Sultan Ahmaddin Shah yang memerintah dari tahun 1786 hingga 1806.

Raja Bendahara bertanggungjawab mempersiapkan keperluan Sultan dan mempunyai hak mengutip cukai di Kuala Kinta. Setiap tahun Raja Bendahara menghantar misi diraja yang dipanggil orang kalur, bermain muzik dan membawa perutusan diraja, mengutip cukai kepala 50 sen.

Selepas Sultan mangkat, Raja Bendahara bertanggungjawab menduduki takhta selama 7 hari sebelum upacara pertabalan Sultan baru yang menjadi Raja Muda sebelumnya, dilakukan.

Raja Ismail menjadi Raja Bendahara untuk 3 orang sultan. Apabila Sultan Ali mangkat pada tahun 1871, Raja Muda Abdullah tidak muncul untuk naik takhta kerana dipermalukan dengan tindakan isterinya lari mengikut Raja yang lain. Ketiadaan Raja Abdullah melayakkan Raja Yusuf untuk menaiki takhta mengikut sistem penggiliran yang melayakkannya menjadi Raja Muda tetapi dia menyerahkan takhta kerana tidak popular.

Atas kesepakatan pihak tertinggi, Raja Ismail diberi tanggungjawab menaiki takhta dan menjadi Sultan Perak ke-25 memakai gelaran Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah.

Tetapi kedudukan Sultan Ismail tidak lama. Oleh kerana banyak aduan tentang kutipan cukai yang melampau di pondok-pondok tol di kuala-kuala sungai dalam kawasan Kinta yang dipengaruhi Sultan Ismail, kekacauan demi kekacauan berlaku. Kesan Perang Larut juga merebak ke Kinta dan perbuatan anarki semakin berleluasa. Akibatnya pedagang negeri-negeri Selat mendesak agar campurtangan British di Perak.

Datuk Panglima Kinta Ke-9, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang mendirikan kota di Pengkalan Pegoh merupakan penyokong kuat Sultan Ismail. Kotanya di Pengkalan Pegoh dibina dengan memotong liku Sungai Kinta dan mewujudkan sebuah pulau dan dibina rumah-rumah di atas pulau tersebut. "Peguh" merupakan bahasa Perak yang menggambarkan sesuatu yang pegun dan teguh.

Sultan Ismail lari bersembunyi dan memasang strategi di Pengkalan Pegoh apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di mana British memilih untuk mengiktiraf Raja Abdullah sebagai sultan yang sah untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Datuk Panglima Kinta Ke-9, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang mendirikan kota di Pengkalan Pegoh memberi perlindungan kepada Sultan Ismail. Kotanya di Pengkalan Pegoh dibina dengan memotong liku Sungai Kinta dan mewujudkan sebuah pulau dan di bina rumah-rumah dalam kotanya.

Sultan Ismail yang lari bersembunyi dan memasang strategi di Pengkalan Pegoh apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di mana British memilih untuk mengiktiraf Raja Abdullah sebagai sultan yang sah untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Orang-orang Sultan Abdullah memburu Raja Ismail untuk menuntut kembali alat-alat kebesaran pertabalan sultan termasuk gajah-gajah diraja yang disimpan di Pengkalan Pegoh. Sultan Ismail ditawarkan jawatan Sultan Muda, pencen $1000 sebulan dan sebuah kawasan pemerintahan.

Jika tawaran ini diterima, mungkin Kinta bakal terpisah dari negeri Perak. Ini kerana Sultan Ismail lebih menumpukan kawasan lombongnya di Gopeng dan Papan. Tawaran ini sebenarnya diilhamkan British kerana hakikatnya mereka mahukan Kinta seperti mereka berjaya memisahkan Singapura dari Johor.

Sultan Abdullah tidak dapat ditabalkan dengan sempurna tanpa alat-alat dan syarat-syarat yang memenuhi keperluan pertabalan ini yang masih dalam genggaman Sultan Ismail.

Pada tahun inilah Perak berada dalam kekeliruan apabila Perak mempunyai dua Sultan. Mereka yang di hulu Sungai Perak menyokong Sultan Ismail manakala yang di hilir menyokong Sultan Abdullah yang dilantik British.

Keadaan menjadi haru biru dengan kewujudan sesetengah penempatan tak berpenghulu dan sesetengah lagi mempunyai dua penghulu.

Walaupun British akur dengan syarat Sultan Abdullah bahawa mereka tidak boleh mencampuri adat Melayu dan agama Islam, J.W.W. Birch menganggap situasi dua sultan ini membahayakan negeri Perak.

Sultan Ismail masih mendapat sokongan rakyat dan digambarkan sebagai Sultan Di Hulu atas sokongan Raja Yusof dan British berhadapan dengan kesukaran untuk berbincang dengannya. Menurut Birch, hanya persetujuan Sultan Ismail atas Perjanjian Pangkor dan kebersediaannya menerima pencen sahaja bakal membolehkan Perak kembali tenang.

Rancangan pertemuan antara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail oleh Birch tidak pernah berjaya kerana pertelagahan antara ketua-ketua puak yang berpecah belah kerana kekalutan ini. Pada saat inilah Birch sedar bahawa tindakan British menjadikan Sultan Abdullah merupakan satu kesilapan besar kerana rakyat Melayu Perak majoritinya menyokong Sultan Ismail.

Krisis ini menyebabkan British bertindak membawa masuk lebih ramai orang Cina ke negeri Perak dan ini disifatkan zaman di mana golongan kedua pendatang China dibawa masuk dan Cina-Cina inilah yang tidak berasimilasi dengan orang Melayu dan mewariskan identiti Cina mereka sehingga hari ini.

Ini berbeza dengan Cina-cina awal yang masuk antara tahun 1776 - 1850 sebelum itu kerana banyak diantara mereka telah memeluk Islam, dan ramai juga yang beragama Islam, bergaul dengan orang Melayu dan menjadi sebahagian dari orang Melayu (yang berwajah Cina) hari ini di daerah Kinta.

Bersambung..

Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis

FADLI MUHAMMAD

Rabu, 12 Jun 2013

Sejarah Ipoh I : Sungai Genta


GENTA
Melayu Ipoh merupakan segmen unik komuniti Melayu di Malaysia. Mereka hidup dalam bandar yang didominasi Cina di bandaraya berpenduduk 600,000 dan juga merupakan pusat pentadbiran Negeri Melayu Perak (Malay State of Perak).

Pada tahun 1520an, Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang mendirikan kerajaannya di Kampar, Sumatera setelah Portugis menakluki Melaka, telah dipohon oleh Tun Saban, anak Tun Perak, Bendahara Melaka untuk menjadi Sultan di kawasan yang telah dikembarainya iaitu di Sungai Perak bersama pengikutnya. Sepanjang pengembaraannya, dia mendapati Perak telah dihuni ramai orang terutamanya orang asli dan perantau Sumatera yang singgah mendulang bijih tetapi tidak mempunyai kerajaan.

Sultan Mahmud menghantar puteranya Raja Muzaffar Shah lalu ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama bergelar  Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah pada tahun 1528.  Namun peperangan terjadi apabila Sultan Muzaffar Shah memaksa wilayah dalam kekuasaan Tun Saban (Hulu Perak) dimasukkan ke dalam negeri Perak. Akibat pertempuran itu, Tun Saban telah meninggal dunia.

Menurut tulisan Aminuddin Baki pada tahun 1964, sejarah awal Ipoh bermula dari penghujung tahun 1520an lagi apabila lagenda menyebut, anak Tun Saban, yang bernama Tok Keluang, yang telah kehilangan wilayah setelah bapanya terbunuh akibat peperangan dengan Sultan Muzaffar, menyusur hilir Sungai Perak dan memasuki salah satu cabang sungainya yang kini dipanggil Sungai Kinta.

Namun sejarah yang lebih jelas diperkirakan dari sumber yang ini pula. Iaitu  sejarah pengembaraan seorang nakhoda dari Sumatera yang dipercayai bersalasilah dengan Tun Saban, yang menyusur sebuah sungai yang belum pernah diteroka, kira-kira 100 tahun selepas itu pertempuran Sultan Perak dan Tun Saban, yang menjadi titik tolak pembukaan Kinta.

Menurut Riwayat Kinta yang ditulis A. Talib, 1959, seorang pengemudi sungai dari Sumatera yang menyusur sungai Perak dan masuk ke sebatang sungai besar yang bercantum dengan Sungai Perak bersama pengikutnya lalu mengalami sesuatu yang aneh di kawasan batukapur di Gunung Cheroh. (Gunung Cheroh dan kuala sungai tersebut hari ini selepas diluruskan berjarak 100 km) 

Dia dan pengikutnya mendengar alunan irama bergenta seperti loceng lalu mereka berhenti. Tiba-tiba seekor cicak kubing melompat ke air untuk menyeberang. Setiap kali cicak tersebut berhenti, irama bergenta itu hilang.

Nakhoda itu seraya berkata " maka dengarlah itu sungai ini dinamakan genta, dek kerana alunan itu." lalu cicak kubing itu hilang bersama alunan bergenta itu.

Malam itu, si nakhoda bermimpi kononnya jin penunggu Gunung Cheroh bernama Genta memberi restu penggunaan nama itu dan memberi gelaran kepada si nakhoda Panglima Genta dan mewariskan gelaran itu kepada anak cucu nakhoda tersebut. 

Mengikut adat tradisi, anak Panglima Genta perlu berkahwin dengan anak gadis suku Temiar bagi membolehkan suku tersebut menggelarnya "kepala" atau Kulup yang juga merangkap pelindung mereka dengan darah Temiar mengalir dalam badan keturunannya.

Maka orang asli Temiar memanggil beliau Kulup Genta atau dengan kata lainnya Kulup Kinta.

Pengembaraan itu dikatakan berlaku antara 1650 hingga 1680. Pengaruh penulisan jawi membuatkan Genta hari ini disebut Kinta dan ia dibantu oleh adaptasi Eropah atas nama tersebut sejak 200 tahun lalu.

Anda merasakan ini satu dongeng? Sehingga kini, sangatlah perlahan pembangunan di kawasan ini di seelah kiri jajaran rel keretapi menuju Tasek yang dibina British 110 tahun lalu.

Kawasan rekreasi Gunung Lang baru sahaja dibuka sedekad lalu walaupun ia merupakan kolam air gunung batukapur semulajadi berusia jutaan tahun.

Kawasan ini digeruni orang Melayu Ipoh sekitar Kampung Tembok, Gunung Mahsurat dan Kampung Kepayang kerana didakwa sebagai perkampungan jin.

Dan di kaki gunung Cheroh, berdiri sebuah kuil Hindu penyembah dewa Murugan yang mengadakan majlis Thaipusam terbesar setiap tahun di Ipoh.

Sejarah Lembah Kinta dikatakan bermula tidak kurang 1,500 tahun lalu berdasarkan penemuan relik-relik Buddha dari zaman Srivijaya di Tanjung Rambutan (1893) dan Lahat (1931) tertanam berpuluh-puluh kaki di dalam tanah. Pada ketika itu, dikatakan Kinta terletak dipertengahan jalan darat antara pusat kerajaan Melayu Buddha Srivijaya di Palembang dengan kerajaan Melayu Buddha Khmer dan Campa di Indo-China.

Kinta juga dikatakan pusat pentadbiran Gangga Negara pertama sebelum Beruas dan penemuan ini dikatakan terlambat kerana Kinta telah musnah akibat kegelojohan pelombong memusnahkan muka buminya demi bijih timah.

Timah telah dilombong di Kinta pada waktu itu untuk membuat matawang. Ia turut menjadi tumpuan pedagang India dan China yang juga mahukan logam tersebut. Tetapi pada abad ke-9 dan ke-10, Kinta telah ditinggalkan secara misteri dan terbiar sehingga dibuka semula 700 tahun kemudian oleh Sultan Perak untuk aktiviti melombong.

Kisah Datuk Panglima Kulop Kinta yang dikatakan memberi nama Kinta dari bunyi bergenta semasa memudik Sg Kinta tidak memberi apa-apa kesan ke atas penerokaan Ipoh pada peringkat awal. Keturunan beliau sebahagiannya telah berasimilasi dengan orang asli tinggal di kawasan yang lebih hilir manakala sebahagian keturunannya ada yang menyerap ke dalam masyarakat Temiar dan menduduki kawasan yang lebih hulu.

Sehingga tahun 1750, Ipoh masih dipenuhi hutan rimba di mana gajah dan badak banyak ditemui menjadikan ia tumpuan pencari hasil hutan, sumbu badak, gading gajah, melombong kecil-kecilan dan menjerat gajah.

Tok Tambak, cucu kepada Tok Changkat Piatu, menjadi Datuk Panglima Kinta pertama dalam sejarah bertulis pada tahun 1750an. Tok Changkat Piatu inilah yang memiliki ciri-ciri dan kesamaan yang paling jelas sebagai nakhoda Sumatera yang bergelar Datuk Panglima Kulop Kinta.

Tok Tambak telah berkahwin dengan Toh Puan Intan, generasi keenam Tun Saban. Anaknya Tok Changkat Segar, Datuk Panglima Kinta Kedua, membuka Kampung Paloh manakala anaknya lagi satu, Tok Changkat Rembia yang menjadi Datuk Panglima Kinta Ketiga, membuka Kampung Kepayang (berdekatan Stadium Perak hari ini).

Bermula dari itu, penggiliran antara kedua-dua pasak Paloh dan Kepayang menjadi tradisi perlantikan Datuk Panglima Kinta.

Dua kampung inilah yang menjadi permulaan kepada kemasukan pelombong-pelombong Melayu dari hilir dan mencetus pembukaan lebih banyak kampung dalam tempoh 50 tahun, termasuklah Kampung Ipoh yang akhirnya menjadi ibu negeri Perak.

Perlantikan rasmi Datuk Panglima Genta Pertama, Tok Tambak, berlaku dalam generasi ketiga Datuk Panglima Kulop Genta  yakni pada pertengahan abad ke-18 (1740 - 1760). 'Genta' (tulisan jawi ک dan ن dan ت ) yang mewakili 'Genta' telah lama-kelamaan dibaca sebagai 'Kinta' oleh orang Cina dan Inggeris. James Low menyebutnya 'Kantar' .

Dalam Misa Melayu , sebuah riwayat negeri Perak yang ditulis dalam abad pada zaman Tok Tambak, ditemukan fakta di bawah. Menurut riwayat tersebut, di bawah arahan Sultan Muzafar Syah III (1728 - 1752), Datuk Bendahara berjaya menangkap gajah yang besar di Kampar dan mempersembahkannya kepada Sultan, selepas itu, Raja Muda Muhammad Shah, adik Sultan pergi 'bermain' di Kinta bertemankan Raja Taha dan Raja Kecil Muda dan tinggal di sana selama dua bulan. Sepulangnya mereka ke Pulau Tiga (di Kg Gajah), mereka membawa bersama bijih timah yang sangat banyak.

Di Perak, gajah ditemui di kawasan pergunungan dan di dataran Lembah Kinta. Sultan menjadikan pemburuan gajah sebagai sukan diraja semasa melawat Kinta. Gajah merupakan perniagaan raja-raja. Ia dijerat untuk dijual kepada pedagang Chulia yang kaya yang kemudiannya dijual oleh mereka kepada tentera Raja-raja Moghul di India. Dengan kejatuhan Empayar Moghul pada abad ke 18, permintaan gajah menurun dan Sultan kehilangan sumber pendapatan paling utamanya.

Walaupun Orang India, Arab, Portugis, Belanda dan British ada menjalankan perdagangan bijih timah, tetapi mereka tidak menjadi pihak pengeluar. Pada ketika ini pengeluaran bijih timah sangat rendah, kira-kira 500 tan setahun.

Dalam tahun 1746, Sultan Muzafar Syah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda dan ini memberi peluang Belanda memonopoli perdagangan bijih timah di Perak dan membina sebuah kilang dibawah kawalan residennya. Semua pengeluaran akan dijual kepada Belanda dengan harga tetap seperti yang dijanjikan, dua rial dari pembayaran akan diambil Sultan sebagai cukai. Perjanjian ini bertahan selama hampir 50 tahun dan membawa kemakmuran kepada negeri Perak. Saat kegemilangan Perak inilah yang diriwayatkan dalam Misa Melayu.

Perjanjian ini juga disokong oleh pewarisnya, Sultan Alauddin Syah yang berkuasa dari tahun 1773 - 1792, demi kebergantungan kepada tentera Belanda dalam menjaga keselamatan negeri dan memperteguhkan monopoli candu. Akibatnya banyak hasil bijih diseludup keluar dari Perak ke Selangor dan lain-lain kawasan.

Seperti sultan sebelumnya, Sultan Alauddin mengerah pekerjanya yang terdiri dari orang-orang Melayu. Didapati orang-orang Melayu hanya mengusahakan lombong pada ketika-ketika tertentu sahaja. Mereka tidak ke lombong di bulan puasam musim menanam padi, musim menuai, hari-hari kebesaran Islam dan ketika musim memburu gajah.

Ketika berlaku kebuluran pada tahun 1776 akibat kemarau yang buruk, Sultan Alauddin menerangkan kepada Belanda bahawa adalah mustahil untuk mengerah rakyat yang kebuluran untuk ke lombong. Belanda mencadangkan agar buruh Cina di bawa masuk berdasarkan kejayaan mereka berbuat demikian di Pulau Bangka, dan mensyaratkan pelombong Cina mesti dibenarkan membuka lombong di kawasan pendalaman. Sultan Alauddin bukan sahaja bersetuju, baginda juga menggalakkan skim tersebut. Zaman ini amat penting kerana ia merupakan saat mulanya buruh Cina diperkenalkan di negeri Perak.

Dalam awal bulan Disember 1776, Sultan Alauddin membenarkan Kapitan Cina untuk melombong di tiga batang sungai di kawasan Kinta. Dia memberikan sepenuh sokongan dan mengarahkan Raja Bendahara menyelia projek tersebut. Para buruh Cina juga diberi surat keizinan bertulis untuk melombong tanpa gangguan mana-mana pegawainya baik berpangkat tinggi mahupun rendah.

Selepas buruh-buruh Cina berjaya membuka lombong baru pada tahun berikutnya, Sultan Alauddin memohon antara 50 hingga 60 tenaga kerja Cina yang muda dan kuat supaya dihantar dari Melaka bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh. Dia menggalakkan pengimportan pekerja Cina tetap dengan gaji dan persekitaran kerja yang baik. Semua keluhan mereka boleh ajukan terus kepada Belanda dan Sultan menitahkan agar mereka yang mengapa-apakan pekerja Cinanya agar dihukum. Kapitan Cina di Perak itu dilantik menjadi ketua kawasan melombong di Kinta. Kerja membuka lombong Cina pertama dimulakan sebaik sahaja tenaga kerja Cina dari Melaka diperoleh dan pada bulan Mac 1778, dua sampel bijih timah dari lombong di Kinta dan Sungkai dihantar ke Melaka dan ia didapati merupakan bijih timah berkualiti tinggi.

Buruh-buruh Cina membawa masuk teknik melombong yang baru , penyusunan buruh dan pasukan bekerja dan menghabiskan masa di lombong timah. Untuk kali pertama, Sultan telah berjaya memenuhi permintaan timah dari Belanda tanpa kekacauan seperti melalui teknik kerahan tenaga orang Melayu dan ini menjadikan baginda berhadapan dengan penurunan populariti dikalangan orang Melayu.

Bersambung..

Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis

FADLI MUHAMMAD

Ahad, 9 Jun 2013

Kuetiau Kicap Melayu Ipoh, Kedai Kopi Hata, Damansara Perdana

Kuetiau Kicap merupakan makanan Cina Ipoh yang hanya sesetengah kedai Melayu yang menjualnya. Itulah the most favorite Ipoh punya cuisine yang I ever like. Melayu tak guna. Bahasa bercampur aduk.

Mencari the sedapest Kuetiau Kicap buatan orang Melayu di merata KL ini memang agak susah tetapi saya berjaya menjumpainya di Damansara Perdana. Kedai Kopi Hata.

Kuetiau Kicap adalah pakej kuetiau bersama tauge, hirisan daun bawang daun sup yang di celur kemudian di sediakan bersama kicap adunan istimewa yang bergaul petis kari yang berkonsentrasi tinggi bersama sup campuran fishball, fishcake dan tauhu kering.

Di samping itu, cili bawang putih yang dijerukkan bersama taburan bawang kering dan lada putih melengkapkan rasanya.

Hidangan ini disertakan dengan sup campuran fishcake dan fishball yang diasingkan dari hidangan dalam pinggan bagi memberi para penikmat Kuetiau Kicap untuk memilih cara menikmatinya.

Ia boleh dimakan secara berasingan dengan sup.

Dengan hirupan minuman menyegarkan.

Atau digaul  kuetiau bersama fishcake.



Untuk menikmatinya, bolehlah ke Kedai Kopi Hata yang terletak di 3-1 Jalan PJU 8/5f, Damansara Perdana.