British menyedari kesilapan mereka memihak kepada Raja Abdullah sebagai Sultan Perak. Apabila diadakan pertemuan dengan para penghulu, rata-rata mereka menyebelahi Sultan Ismail. Untuk itu, Birch mengubah sokongannya dan bertindak untuk berlembut dan menyebelahi Sultan Ismail sebagai helah untuk memaksa Sultan Ismail menandatangani perjanjian yang masih belum di tandatanganinya.
Semasa Sultan Ismail berkuasa, baginda memansuhkan hak Raja Bendahara memungut cukai dan percukaian di Kuala Kinta ditiadakan. Tetapi selepas campurtangan British, hak tersebut dikembalikan tetapi Sultan Ismail enggan menggunakan Sungai Kinta lalu membina laluan gajah dari Papan ke Belanja setelah ia mendapati laluan tersebut lebih mudah.
Dari Belanja, hasil bijih timahnya diangkut ke Beruas dan melalui Beruas, lebih mudah untuk hasil timahnya dibawa ke laut untuk dieksport keluar. Sultan Ismail kemudian tinggal di Belanja sementara kaum keluarga dan orang-orang kanan baginda masih mendiami Pengkalan Pegoh.
Dalam bulan Mei 1875, Birch bersama rombongannya pergi ke Pengkalan Pegoh untuk memujuk Sultan Ismail tetapi baginda menolak pelawaan British dengan alasan anaknya sakit. Birch menyifatkan Uda Bidin sebagai seorang yang lembut budi bicara walaupun kelihatan Uda Bidin tidak senang untuk berurusan dengan orang Eropah.
Menurut Birch, Uda Bidin mendakwa dia mengenali Sultan Abdullah pertama yang memerintah dari tahun 1851 hingga 1857 (ayahanda Sultan Abdullah yang dilantik British) dan pernah menjaga gajah-gajah kebesaran diraja semasa zaman Sultan Abdullah I. Uda Bidin juga menjemput Birch untuk datang lagi pada bulan berikutnya untuk dibawa berjalan menaiki gajah ke kawasan pendalaman melalui Pengkalan Pegoh hingga ke Pelus dan sempadan Patani.
Birch mencerap persekitaran Pengkalan Pegoh dan mencatat aktiviti kumpulan penduduk di situ. Mereka didapati memiliki sawah-sawah padi, lombong-lombong dan tanaman-tanaman tebu. Sultan Ismail didapati memiliki gajah-gajah yang disewakan untuk mengangkut hasil bijih timah di Gopeng dan Sungai Raia dengan kadar $2 bagi 100 gantang dan $2.50 bagi 4 pikul.
Untuk memberi tekanan kepada Sultan Ismail, kutipan cukai di Kuala Kinta atas nama Sultan Abdullah menjadi terlalu tinggi sehingga $16 untuk beras. Harga beras di Gopeng mencecah $100 setiap koyan dan pernah mencecah $200. Pada zaman itu, $200 boleh digunakan untuk membina jalan sepanjang 1 batu! Peningkatan harga ini disebabkan oleh cukai demi cukai yang dikenakan sepanjang laluan di Sungai Kinta. Akibatnya perlombongan di Gopeng menjadi lumpuh.
Selain itu, pekerja Cina Hakka di bawah Chong Keng Kwee ke Gopeng yang dibawa Sultan Ismail dari Pulau Pinang pada tahun 1872, telah dirompak, dipukul dan dicederakan oleh orang-orang Sultan Abdullah menyebabkan Chong Keng Kwee mengadu kepada Birch.
Birch bimbang kerana kelesuan aktiviti perlombongan ini bakal merugikan British lalu memujuk Sultan Abdullah agar menyerahkan urusan mengutip cukai kepada British dan ini menimbulkan kemarahan Sultan Abdullah.
Pada 20.07.1875, Birch memaksa Sultan Abdullah menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut.
Akhirnya Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambil alihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah. Inilah yang mencetuskan pembunuhan Birch pada 2.11.1875 yang mendapat sokongan orang Melayu Perak termasuk pembesar jajahan Larut, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Makmor (kecuali Mendailing yang membantu British menawan Perak).
Pembunuhan Birch dikutuk sebagai ' tindakan pengecut' oleh web Mendailing.org :
The cowardly murder of J.W.W. Birch, the first British Resident to Perak, on Hari Raya day, November 2nd, 1875, at Pasir Salak in Lower Perak, gave rise to the Perak War of 1875.
dan
Ex-Sultan Ismail who was ousted by the Brtish through the disastrous Pangkor Treaty 1874, was known to have owned at least four mines, the most valuable being at Papan. Ex-Sultan Ismail's mines were given to Raja Asal by Swettenham as a reward for his military services in the Perak War. The Papan mines were described as "the most productive in the State" as well as "probably the richest tin mines in the Malay Peninsula."
Akibat pembunuhan ini, British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan pejuang-pejuang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. pemimpin mereka, Raja Asal diusir dari Selangor bersama pengikutnya dan sekumpulan Cina Hakka yang menyokongnya turut mengikut Raja Asal mundur ke Perak.
Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Datuk Maharaja Lela yang merupakan penghulu Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing ternama seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom.
Tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri. Baginda lari ke Kampung Kepayang (di Fair Park sekarang) dan menurut sumber orang kampung yang diceritakan kepada British, Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah dan meminta bantuan mereka untuk membantu beliau menentang orang British dan Mendailing tetapi orang Kampung Kepayang enggan membantu.
Baginda sangat kecewa kerana penduduk Kampung Kepayang telah berpaling darinya lalu bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa dia akan kembali memerintah negeri Perak. Baginda, Datuk Maharaja Lela, orang-orang kanan dan isteri-isterinya kemudian meredah hutan belantara ke kawasan Chemor.
Dari Chemor, mereka melintasi laluan belantara Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah melalui Baling.
Setelah berjaya mengusir Sultan Ismail dan pengikutnya dari Papan, lombong-lombong Sultan Ismail di Papan diserahkan kepada Raja Asal. Namun ini menimbulkan rasa tidak puas hati Gabenor Negeri-Negeri Selat yang mempertikaikan pemberian tersebut.
British dengan licik mendakwa hanya membenarkan Raja Asal mengusahakan lombong peninggalan Sultan Ismail dan bukannya membuka lombong-lombong baru. Ini kerana British menyedari bahawa kawasan Papan merupakan kawasan deposit bijih timah terkaya di Tanah Melayu pada waktu itu.
Raja Asal yang kecewa dikatakan membunuh diri namun warisnya menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan beliau meninggal pada 14.11.1877 kerana sakit tua dan dikuburkan di Pengkalan Kaca berhampiran Pengkalan Pegoh.
Orang Mendailing yang telah ada di kawasan-kawasan lombong di Kinta menyambut pengusiran Raja Asal dari Selangor dan mereka bergabung dengan orang Mendailing yang masuk bersama Raja Asal dan membantu Raja Asal yang membantu British memburu Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela. Ini menimbulkan kemarahan di kalangan Melayu Perak ke atas orang Mendailing.
Mengikut web Mendailing.org:
Kehadiran orang-orang Mandailing di Malaysia meledakkan peperangan di tiga negeri yang berlangsung selama 30 tahun. Dari Melaka, pelarian Mandailing mengungsi ke Sungai Ujong (Seremban), melombong/menambang mas sebelum terlibat dalam Perang Rawa, 1848. Mereka kemudian mengungsi ke tambang/lombong mas di Pahang, di mana mereka terheret dalam Perang Orang Kemaman (Perang Pahang, 1857-1863). Kemudian mereka coba menguasai tambang bijih timah di Selangor yang menjadi rebutan, sebelum mengepalai Porang Kolang (Perang Selangor, 1867-1873). Menjadi buruan orang Melayu Pahang, Bugis dan British, mereka melepaskan diri ke negeri Perak dan menjadi askar-askar upahan British dalam Perak War (1875-1876) menentang orang Melayu Perak. Sampai ke hari ini, keturunan "pengacau-pengacau" Mandailing masih dapat ditemui di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan di Perak. Mulanya sebagai pelombong, pedagang/peniaga dan askar upahan, mereka kemudian menjadi pentadbir (penghulu), pendidik dan forester.
Anak Raja Asal, Raja Bilah, kemudiannya telah menjadi Penghulu di Papan dan mengusahakan lombong warisan bapanya sehinggalah British mengharamkan relau semut yang mengakibatkan hutan-hutan menjadi gondol kerana ia menggunakan kayu keras dan menggantikannya dengan relau tongka. Ini menyebabkan Raja Bilah mengalami kerugian dalam mengoperasikan lombongnya.
Raja Bilah menjual lombongnya pada tahun 1889 walaupun harga timah naik mendadak kerana kerugian masih tidak tertanggung akibat hutang yang banyak. Raja Bilah menumpukan hanya pada kegiatan mengutip cukai, dan meninggal dunia pada tahun 1909.
Walaupun orang Mendailing banyak menjadi bahan pengkisahan di Kinta dan Kuala Lumpur, di kawasan Kinta, gelaran Panglima Kinta sentiasa milik orang Melayu Perak. Sejak Panglima Kinta ke-5, Ngah Ghafar meneroka ke Hulu Kinta dan Hulu Pinji dan menetap di Gunung Datuk, Tambun pada sekitar 1820an, aktiviti perlombongan orang Melayu menggunakan pekerja-pekerja Mendailing dan Jawa tidak pernah terganggu.
Peneroka Melayu Kinta telah pun meneroka melalui denai hutan masuk ke Hulu Kinta menelusur Tanjong Rengkong (kini Tasek) ke Gunung Temuan (kini kuari batu antara Bercham dan Tg Rambutan) Kinding hingga ke Jalong dan menghilir Sungai Kerdah untuk ke Pelus , Chegar Galah dan terus ke Hulu Perak dan Kedah. Semuanya kerana untuk mencari kawasan melombong.
Laluan ini juga dikatakan laluan purba dan telah digunakan sejak abad ke 6 lagi semasa zaman Srivijaya dan juga laluan darat pendalaman untuk ke selatan Semenanjung di zaman penguasaan Siam.
Kewujudan orang Melayu Perak di kawasan Hulu Kinta seawal itu sudah tentu diperkukuhkan dengan penempatan Datuk Panglima Kinta Ngah Ghafar pada tahun 1820an. Kira-kira 60 tahun kemudian, penguasaan Tok Lembang, dikenali saudagar kelian Tambun, ke atas laluan aktiviti perlombongan dan penempatan dari Tanjong Rambutan hingga ke Ipoh pada tahun 1880an membuktikan kawasan ini telah lama dihuni Melayu Perak. Tanjong Rambutan telah dikenali sebagai sebuah perkampungan orang Melayu sejak tahun 1870an lagi.
Tok Lembang menguasai aktiviti mengangkut bijih timah melalui jalan darat dengan menyewakan gajah antara Tanjong Rambutan dan Ipoh. Jeram-jeram di Sungai Kinta antara Kampung Kepayang hingga Tanjong Rambutan membuatkan pengangkutan menggunakan sungai adalah mustahil.
Ini bermakna, setelah serangan British dan Mendailing pada tahun 1875, Melayu Kinta telah terkepung kerana wujudnya wilayah orang Mendailing menguasai kawasan dari Gopeng di pinggir Banjaran Titiwangsa hingga Papan di pinggir Banjaran Kledang.
Kampung Ipoh merupakan sebuah kampung orang asli yang terletak di dalam Kampung Paloh telah dihuni sejak zaman Datuk Panglima Kinta Kedua dan Ketiga kita-kira 100 tahun sebelum itu. Mengikut data populasi tahun 1880, populasi orang Melayu dan orang asli di kawasan belantara Ulu Kinta (Mukim Hulu Kinta hari ini) ialah 4,000 dengan populasi Cina hanya 900 orang.
Bebalik kepada kisah pelarian Sultan Ismail dan Datuk Maharaja Lela, mereka telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell. Siam merupakan sahabat British. Mereka telah dibawa ke Singapura untuk dibicarakan dan alat kebesaran pertabalan ke negeri Perak telah dikembalikan.
Sultan Ismail dibuang ke Skudai bersama beberapa orang kanannya. Datuk Maharaja Lela dihukum mati. Datuk Sagor yang terlebih dahulu ditangkap di Kuala Kangsar telah pun dihukum mati.
Kekacauan akibat Perang Perak dan kesangsian Melayu Perak atas orang Mendailing yang membantu British memerangi kesultanan Perak. Maka berlakulah keganasan-keganasan akibat perbalahan ini dan ia dipulihkan sedikit setelah Raja Idris menjadi Sultan yang sah pada tahun 1887.
Hugh Low St 1887 menghala tenggara timur. Kelihatan Gunung Chabang di Spg Pulai.
Sultan Abdullah yang dibuang ke Seychelles bersama pembesar Perak yang lain meninggalkan takhta yang kosong dan dipangku oleh Raja Yusuf. Kemangkatan Raja Yusuf membolehkan Raja Idris menjadi Sultan Idris Shah yang terkenal sebagai sahabat baik British.
Bermulanya era Datuk Panglima Kinta Ke-10, Muhammad Yusuff yang mula bertugas pada tahun 1884, telah menjadi titik tolak pembangunan besar-besaran Ipoh sebagai sebuah bandar. Pada tahun tersebut juga, pemangku residen, Frank Swettenham memindahkan ibu pejabat pentadbiran Kinta dari Kota Baru ke Batu Gajah dan kekal hingga ke hari ini.
Tanda-tanda kemakmuran Kinta semakin jelas apabila bangunan-bangunan batu mula dibina di Papan, Batu Gajah, Ipoh, Lahat, Dipang dan Gopeng. Pada tahun 1889, pengeluaran bijih timah Kinta buat pertama kalinya melepasi pengeluaran di Larut dan semakin ramai pekerja Cina berpusu-pusu masuk ke daerah Kinta.
Menurut Swettenham, para pembesar Melayu di daerah Kinta adalah orang Melayu paling kaya di Tanah Melayu pada ketika itu. Sutera dan songket mahal di Terengganu dan Batubara di Sumatera ditempah oleh mereka. Mereka memiliki rumah besar, dan ladang kuda serta memiliki rumah sendiri di tanah suci Mekah.
Selain dari penduduk Melayu tetap di sekitar Ipoh yang secara tradisinya mengerjakan bendang dan lombong, terdapat juga orang Melayu yang menjadi orang sampan menjual barang dagangan dari hilir sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati saudagar-saudagar Melayu yang berkedai atas darat di Ipoh.
British menggalakkan orang Melayu Kinta bertani untuk memenuhi keperluan makanan pekerja Cina yang dikerah dilombong-lombong. Tetapi orang Melayu lebih memilih untuk bertani dan menyara hidup mereka sendiri dan membiarkan bendang tidak diusahakan beberapa tahun bagi menyuburkan kembali tanah.
Kesempatan bertani diambil oleh Melayu luar terutamanya Mendailing kepada tanaman-tanaman yang diperkenalkan oleh British seperti kopi, limau, oren, lada hitam dan limau bali. Ini dibantu oleh langkah kerajaan negeri Perak membuka kawasan pertanian dengan mengiklankan tawaran tanah tidak lebih 500 ekar dengan premium sebanyak 30 sen untuk 2 tahun.
Namun keutamaan diberi kepada aktiviti perlombongan dan kerajaan negeri berhak mengambil semula tanah dengan membayar pampasan untuk dilombong dan ini membunuh aktiviti pertanian di Kinta beberapa tahun kemudian.
Orang Melayu Ipoh sebenarnya tidak lagi berminat untuk bertani. Perlombongan bijih timah memberi peluang kepada mereka mengambil upah membersih kawasan, membekal kayu-kayan, menjadi penyedia khidmat perahu, menjadi polis, tukang kayu dan pembina rumah yang menjajikan pulangan lumayan, selagi beras masih mampu dibeli.
Ini kerana, pada tahun 1885, British mendaftar kira-kira 500 lombong di mana 3 diusahakan oleh syarikat Eropah, manakala selebihnya ialah kawasan lombong orang Melayu yang mendakwa lombong itu milik mereka turun temurun. Akibatnya, British menetapkan bahawa lombong turun temurun yang tidak diusahakan selama 2 tahun akan dimansuhkan status milikan. Maka sebab itu, orang Melayu menyewakan tanah mereka kepada pelombong Cina dan Mendailing dan mengutip hasil komisen sahaja.
Bersambung..
Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis
FADLI MUHAMMAD
menarik...cuma tiada pengkisahan syed mashor ketika perang kinta ini berlangsung
BalasPadam