GENTA
Melayu Ipoh merupakan segmen unik komuniti Melayu di Malaysia. Mereka hidup dalam bandar yang didominasi Cina di bandaraya berpenduduk 600,000 dan juga merupakan pusat pentadbiran Negeri Melayu Perak (Malay State of Perak).
Pada tahun 1520an, Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang mendirikan kerajaannya di Kampar, Sumatera setelah Portugis menakluki Melaka, telah dipohon oleh Tun Saban, anak Tun Perak, Bendahara Melaka untuk menjadi Sultan di kawasan yang telah dikembarainya iaitu di Sungai Perak bersama pengikutnya. Sepanjang pengembaraannya, dia mendapati Perak telah dihuni ramai orang terutamanya orang asli dan perantau Sumatera yang singgah mendulang bijih tetapi tidak mempunyai kerajaan.
Sultan Mahmud menghantar puteranya Raja Muzaffar Shah lalu ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah pada tahun 1528. Namun peperangan terjadi apabila Sultan Muzaffar Shah memaksa wilayah dalam kekuasaan Tun Saban (Hulu Perak) dimasukkan ke dalam negeri Perak. Akibat pertempuran itu, Tun Saban telah meninggal dunia.
Menurut tulisan Aminuddin Baki pada tahun 1964, sejarah awal Ipoh bermula dari penghujung tahun 1520an lagi apabila lagenda menyebut, anak Tun Saban, yang bernama Tok Keluang, yang telah kehilangan wilayah setelah bapanya terbunuh akibat peperangan dengan Sultan Muzaffar, menyusur hilir Sungai Perak dan memasuki salah satu cabang sungainya yang kini dipanggil Sungai Kinta.
Namun sejarah yang lebih jelas diperkirakan dari sumber yang ini pula. Iaitu sejarah pengembaraan seorang nakhoda dari Sumatera yang dipercayai bersalasilah dengan Tun Saban, yang menyusur sebuah sungai yang belum pernah diteroka, kira-kira 100 tahun selepas itu pertempuran Sultan Perak dan Tun Saban, yang menjadi titik tolak pembukaan Kinta.
Menurut Riwayat Kinta yang ditulis A. Talib, 1959, seorang pengemudi sungai dari Sumatera yang menyusur sungai Perak dan masuk ke sebatang sungai besar yang bercantum dengan Sungai Perak bersama pengikutnya lalu mengalami sesuatu yang aneh di kawasan batukapur di Gunung Cheroh. (Gunung Cheroh dan kuala sungai tersebut hari ini selepas diluruskan berjarak 100 km)
Dia dan pengikutnya mendengar alunan irama bergenta seperti loceng lalu mereka berhenti. Tiba-tiba seekor cicak kubing melompat ke air untuk menyeberang. Setiap kali cicak tersebut berhenti, irama bergenta itu hilang.
Nakhoda itu seraya berkata " maka dengarlah itu sungai ini dinamakan genta, dek kerana alunan itu." lalu cicak kubing itu hilang bersama alunan bergenta itu.
Malam itu, si nakhoda bermimpi kononnya jin penunggu Gunung Cheroh bernama Genta memberi restu penggunaan nama itu dan memberi gelaran kepada si nakhoda Panglima Genta dan mewariskan gelaran itu kepada anak cucu nakhoda tersebut.
Mengikut adat tradisi, anak Panglima Genta perlu berkahwin dengan anak gadis suku Temiar bagi membolehkan suku tersebut menggelarnya "kepala" atau Kulup yang juga merangkap pelindung mereka dengan darah Temiar mengalir dalam badan keturunannya.
Maka orang asli Temiar memanggil beliau Kulup Genta atau dengan kata lainnya Kulup Kinta.
Pengembaraan itu dikatakan berlaku antara 1650 hingga 1680. Pengaruh penulisan jawi membuatkan Genta hari ini disebut Kinta dan ia dibantu oleh adaptasi Eropah atas nama tersebut sejak 200 tahun lalu.
Anda merasakan ini satu dongeng? Sehingga kini, sangatlah perlahan pembangunan di kawasan ini di seelah kiri jajaran rel keretapi menuju Tasek yang dibina British 110 tahun lalu.
Kawasan rekreasi Gunung Lang baru sahaja dibuka sedekad lalu walaupun ia merupakan kolam air gunung batukapur semulajadi berusia jutaan tahun.
Kawasan ini digeruni orang Melayu Ipoh sekitar Kampung Tembok, Gunung Mahsurat dan Kampung Kepayang kerana didakwa sebagai perkampungan jin.
Dan di kaki gunung Cheroh, berdiri sebuah kuil Hindu penyembah dewa Murugan yang mengadakan majlis Thaipusam terbesar setiap tahun di Ipoh.
Sejarah Lembah Kinta dikatakan bermula tidak kurang 1,500 tahun lalu berdasarkan penemuan relik-relik Buddha dari zaman Srivijaya di Tanjung Rambutan (1893) dan Lahat (1931) tertanam berpuluh-puluh kaki di dalam tanah. Pada ketika itu, dikatakan Kinta terletak dipertengahan jalan darat antara pusat kerajaan Melayu Buddha Srivijaya di Palembang dengan kerajaan Melayu Buddha Khmer dan Campa di Indo-China.
Kinta juga dikatakan pusat pentadbiran Gangga Negara pertama sebelum Beruas dan penemuan ini dikatakan terlambat kerana Kinta telah musnah akibat kegelojohan pelombong memusnahkan muka buminya demi bijih timah.
Timah telah dilombong di Kinta pada waktu itu untuk membuat matawang. Ia turut menjadi tumpuan pedagang India dan China yang juga mahukan logam tersebut. Tetapi pada abad ke-9 dan ke-10, Kinta telah ditinggalkan secara misteri dan terbiar sehingga dibuka semula 700 tahun kemudian oleh Sultan Perak untuk aktiviti melombong.
Kisah Datuk Panglima Kulop Kinta yang dikatakan memberi nama Kinta dari bunyi bergenta semasa memudik Sg Kinta tidak memberi apa-apa kesan ke atas penerokaan Ipoh pada peringkat awal. Keturunan beliau sebahagiannya telah berasimilasi dengan orang asli tinggal di kawasan yang lebih hilir manakala sebahagian keturunannya ada yang menyerap ke dalam masyarakat Temiar dan menduduki kawasan yang lebih hulu.
Sehingga tahun 1750, Ipoh masih dipenuhi hutan rimba di mana gajah dan badak banyak ditemui menjadikan ia tumpuan pencari hasil hutan, sumbu badak, gading gajah, melombong kecil-kecilan dan menjerat gajah.
Tok Tambak, cucu kepada Tok Changkat Piatu, menjadi Datuk Panglima Kinta pertama dalam sejarah bertulis pada tahun 1750an. Tok Changkat Piatu inilah yang memiliki ciri-ciri dan kesamaan yang paling jelas sebagai nakhoda Sumatera yang bergelar Datuk Panglima Kulop Kinta.
Tok Tambak telah berkahwin dengan Toh Puan Intan, generasi keenam Tun Saban. Anaknya Tok Changkat Segar, Datuk Panglima Kinta Kedua, membuka Kampung Paloh manakala anaknya lagi satu, Tok Changkat Rembia yang menjadi Datuk Panglima Kinta Ketiga, membuka Kampung Kepayang (berdekatan Stadium Perak hari ini).
Bermula dari itu, penggiliran antara kedua-dua pasak Paloh dan Kepayang menjadi tradisi perlantikan Datuk Panglima Kinta.
Dua kampung inilah yang menjadi permulaan kepada kemasukan pelombong-pelombong Melayu dari hilir dan mencetus pembukaan lebih banyak kampung dalam tempoh 50 tahun, termasuklah Kampung Ipoh yang akhirnya menjadi ibu negeri Perak.
Perlantikan rasmi Datuk Panglima Genta Pertama, Tok Tambak, berlaku dalam generasi ketiga Datuk Panglima Kulop Genta yakni pada pertengahan abad ke-18 (1740 - 1760). 'Genta' (tulisan jawi ک dan ن dan ت ) yang mewakili 'Genta' telah lama-kelamaan dibaca sebagai 'Kinta' oleh orang Cina dan Inggeris. James Low menyebutnya 'Kantar' .
Dalam Misa Melayu , sebuah riwayat negeri Perak yang ditulis dalam abad pada zaman Tok Tambak, ditemukan fakta di bawah. Menurut riwayat tersebut, di bawah arahan Sultan Muzafar Syah III (1728 - 1752), Datuk Bendahara berjaya menangkap gajah yang besar di Kampar dan mempersembahkannya kepada Sultan, selepas itu, Raja Muda Muhammad Shah, adik Sultan pergi 'bermain' di Kinta bertemankan Raja Taha dan Raja Kecil Muda dan tinggal di sana selama dua bulan. Sepulangnya mereka ke Pulau Tiga (di Kg Gajah), mereka membawa bersama bijih timah yang sangat banyak.
Di Perak, gajah ditemui di kawasan pergunungan dan di dataran Lembah Kinta. Sultan menjadikan pemburuan gajah sebagai sukan diraja semasa melawat Kinta. Gajah merupakan perniagaan raja-raja. Ia dijerat untuk dijual kepada pedagang Chulia yang kaya yang kemudiannya dijual oleh mereka kepada tentera Raja-raja Moghul di India. Dengan kejatuhan Empayar Moghul pada abad ke 18, permintaan gajah menurun dan Sultan kehilangan sumber pendapatan paling utamanya.
Walaupun Orang India, Arab, Portugis, Belanda dan British ada menjalankan perdagangan bijih timah, tetapi mereka tidak menjadi pihak pengeluar. Pada ketika ini pengeluaran bijih timah sangat rendah, kira-kira 500 tan setahun.
Dalam tahun 1746, Sultan Muzafar Syah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda dan ini memberi peluang Belanda memonopoli perdagangan bijih timah di Perak dan membina sebuah kilang dibawah kawalan residennya. Semua pengeluaran akan dijual kepada Belanda dengan harga tetap seperti yang dijanjikan, dua rial dari pembayaran akan diambil Sultan sebagai cukai. Perjanjian ini bertahan selama hampir 50 tahun dan membawa kemakmuran kepada negeri Perak. Saat kegemilangan Perak inilah yang diriwayatkan dalam Misa Melayu.
Perjanjian ini juga disokong oleh pewarisnya, Sultan Alauddin Syah yang berkuasa dari tahun 1773 - 1792, demi kebergantungan kepada tentera Belanda dalam menjaga keselamatan negeri dan memperteguhkan monopoli candu. Akibatnya banyak hasil bijih diseludup keluar dari Perak ke Selangor dan lain-lain kawasan.
Seperti sultan sebelumnya, Sultan Alauddin mengerah pekerjanya yang terdiri dari orang-orang Melayu. Didapati orang-orang Melayu hanya mengusahakan lombong pada ketika-ketika tertentu sahaja. Mereka tidak ke lombong di bulan puasam musim menanam padi, musim menuai, hari-hari kebesaran Islam dan ketika musim memburu gajah.
Ketika berlaku kebuluran pada tahun 1776 akibat kemarau yang buruk, Sultan Alauddin menerangkan kepada Belanda bahawa adalah mustahil untuk mengerah rakyat yang kebuluran untuk ke lombong. Belanda mencadangkan agar buruh Cina di bawa masuk berdasarkan kejayaan mereka berbuat demikian di Pulau Bangka, dan mensyaratkan pelombong Cina mesti dibenarkan membuka lombong di kawasan pendalaman. Sultan Alauddin bukan sahaja bersetuju, baginda juga menggalakkan skim tersebut. Zaman ini amat penting kerana ia merupakan saat mulanya buruh Cina diperkenalkan di negeri Perak.
Dalam awal bulan Disember 1776, Sultan Alauddin membenarkan Kapitan Cina untuk melombong di tiga batang sungai di kawasan Kinta. Dia memberikan sepenuh sokongan dan mengarahkan Raja Bendahara menyelia projek tersebut. Para buruh Cina juga diberi surat keizinan bertulis untuk melombong tanpa gangguan mana-mana pegawainya baik berpangkat tinggi mahupun rendah.
Selepas buruh-buruh Cina berjaya membuka lombong baru pada tahun berikutnya, Sultan Alauddin memohon antara 50 hingga 60 tenaga kerja Cina yang muda dan kuat supaya dihantar dari Melaka bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh. Dia menggalakkan pengimportan pekerja Cina tetap dengan gaji dan persekitaran kerja yang baik. Semua keluhan mereka boleh ajukan terus kepada Belanda dan Sultan menitahkan agar mereka yang mengapa-apakan pekerja Cinanya agar dihukum. Kapitan Cina di Perak itu dilantik menjadi ketua kawasan melombong di Kinta. Kerja membuka lombong Cina pertama dimulakan sebaik sahaja tenaga kerja Cina dari Melaka diperoleh dan pada bulan Mac 1778, dua sampel bijih timah dari lombong di Kinta dan Sungkai dihantar ke Melaka dan ia didapati merupakan bijih timah berkualiti tinggi.
Buruh-buruh Cina membawa masuk teknik melombong yang baru , penyusunan buruh dan pasukan bekerja dan menghabiskan masa di lombong timah. Untuk kali pertama, Sultan telah berjaya memenuhi permintaan timah dari Belanda tanpa kekacauan seperti melalui teknik kerahan tenaga orang Melayu dan ini menjadikan baginda berhadapan dengan penurunan populariti dikalangan orang Melayu.
Bersambung..
Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis
FADLI MUHAMMAD
As salaam alaikum tuan blogger,
BalasPadamTerima kasih kerana berkongsi info & rahsia sejarah perlombongan bijih timah di negeri teman.
Assalamualaikum tuan, boleh dapatkan maklumat tak mengenai uda lambok@ tok lambok antara pengasas beruas 1800?
BalasPadam