Selasa, 14 April 2015

Pesta Songkran di Thailand berasal dari pesta air etnik Dai di China

Pesta Songkran di Thailand setiap 13 hingga 15 April saban tahun telah menjadi acara pelancongan yang menarik ramai pelancong muda di Malaysia.

Ini kerana pesta tersebut dijadikan medan keseronokan menembak pistol air dingin ke gadis-gadis oleh jejaka-jejaka tanpa mengenali satu sama lain dalam suasana festival yang sesak. Boleh jadi juga sebaliknya.


Suasana Silom Road pada petang 13 April 2015.

Pesta Songkran yang disambut sebagai acara pelancongan terbesar dalam kalendar pelancongan Thailand disambut meriah di Silom Road, Bangkok. Acara ini juga banyak menarik minat rakyat tempatan untuk melancong ke sana pada tarikh tersebut.

Songkran berasal dari perkataan Sanskrit "samkranti" bermaksud laluan astronomi. Ia disambut sebagai Tahun Baru dalam kalendar Hindu Kuno yang tradisi itu kemudiannya menyebar hingga ke Indo China.

Gautama Buddha sendiri seorang putera raja Hindu, tentu sekali tradisi ini turut menjadi amalan pengamal ajaran Buddha. 

"Samkranti" ini menjadi asas kepada tahun baru kalendar-kalendar banyak peradaban yang ada pengaruh Hindu iaitu sebagai kalendar Tamil, Bengali, Burma, Thai, Laos dan Kemboja.


Sebelum 1940, tahun Thai yang berganti pada ketika berlaku "samkranti" ini. Tahun Thai ditukar ke 1 Januari. 

Ini mungkin sekali natijah dari revolusi besar-besaran Thailand yang menyaksikan bahasa Cina dan Melayu termasuk bahasa etnik-etnik ditegah perkembangannya dengan asimilasi kepada bahasa dan budaya Thai dipaksakan. Beberapa tahun sebelumnya, Perdana Menteri Siam telah menukar nama negaranya daripada Siam kepada Thailand dan rakyat Thailand mula menolak dikenali sebagai orang Siam, tetapi Thai.

Berbagai penceritaan wujud tentang pesta ini di Malaysia apabila Mufti Perlis pernah mengharamkan orang Islam menyertai pesta Songkran satu ketika dulu kerana ia dikatakan berkait dengan upacara keagamaan Buddha walaupun ia dibantah oleh pemimpin keturunan Siam di Malaysia.

Menurut kajian, upacara tersebut adalah lanjutan dari ritual memandikan patung Buddha di tahun baru dan menyebarkan air mandian patung tersebut ke orang ramai bagi mendapat 'berkat'.

Tapi pemimpin Siam di Malaysia menafikannya dan menegaskan ia adalah tradisi berkaitan menyejukkan badan ketika cuaca panas dan itulah yang berlaku hari ini di mana air yang didinginkan dalam tangki berisi ais disediakan bagi peserta festival mengisi semula air ketika berpesta perang air di Silom, tapak Songkran Festival paling besar di Bangkok. 

Sebenarnya aktiviti berkaitan Buddha itu memang ada iaitu upacara menyiram patung Buddha pada pagi tahun baru selepas mereka beribadat di tokong. Penganut ajaran Buddha menyiram air ke patung Buddha dengan bekas air sendiri yang dibawa terlebih dahulu sebelum menyiram ke penganut lain dari bekas itu sebagai simbol memberi tuah dan mencuci dosa dengan penuh hormat dan sopan. Ia termaktub sebagai budaya etnik Dai di Yunnan, China, etnik yang pada suatu masa tidak sampai 200 tahun lalu, mencipta sejarah dunia.

Terdapat anggaran 48 juta etnik Dai berakar di Thailand yang meliputi 60% dari keseluruhan penduduk Thailand berbanding hanya beberapa juta di rantau asalnya. 

Kedatangan mereka ke arah selatan dikatakan berlaku pada abad ke 16 dan 17 dengan mengalahkan Empayar Siam yang berpusat di Ayuthia yang dahulunya merupakan sebuah kerajaan Islam selama tidak lebih 400 tahun menjadi sebahagian rantai kerajaan-kerajaan Islam yang menguasai dari barat Afrika hingga ke Filipina.

Bangsa Dai ini mengambil alih Siam beserta dengan bahasa dan penulisannya sekali dan ini terbukti dari penggunaan bahasa-bahasa mirip Melayu dalam bahasa Thai hari ini yang berasal dari bahasa Siam
 Contohnya ภาษา yang disebut phasa yang membawa maksud 'bahasa'.

Kaitan Pesta Songkran di Thailand dan ritual siram patung Buddha etnik Dai menunjukkan hubungan mereka tidak terpisah terlalu lama. 

Namun siraman patung Buddha dari kendi bawaan penganut dan siraman ke orang lain ketika itu tetap menjadi asas punca kepada kemeriahan pesta tembak air yang disambut hari ini di serata Thailand.

Calitan kapur ke wajah sebagai tanda telah memohon restu dan mengharap restu yang berakar dari budaya Hindu di India turut ada dalam tradisi Songkran di Thailand ini.




Songkran menjadi cuti umum paling penting bagi negara tersebut dengan 3 hari berturut-turut digazetkan, selain Tahun Baru Masehi yang diwartakan juga selama 3 hari.

Sambutan di Silom Road ternyata telah dikomersialkan sepenuhnya dengan acara yang dibuat bagi meningkatkan aktiviti Bangkok kepada pelancong asing memandangkan warga Bangkok mengambil peluang cuti ini untuk keluar dari kota.

Ertinya kini ia hanya sekitar pesta air dan calitan kapur yang asalnya sebagai tanda perlindungan dan restu selepas ritual keagamaan yang dibuat besar-besaran.

 Ini yang berlangsung di daerah hiburan dan pelacuran khusus menarik pelancong asing dan warga Bangkok tanpa mengira agama.