Isnin, 17 Jun 2013

Langgar Lampu Isyarat Berleluasa Di Putrajaya

Dengan perjalanan menaiki bas ke pejabat sejauh 14 km dalam Putrajaya (Presint 5 ke Presint 1) pun terpaksa menempuh 19 lampu isyarat, beserta lampu-lampu isyarat yang tidak bersensor semuanya sehinggakan memaksa orang menunggu 'jin berkenderaan' melintas di waktu malam, apalah yang dimustahilkan dengan tabiat pelanggaran lampu isyarat di Putrajaya? Pun begitu bukanlah kejadian melanggar lampu isyarat sampai tumbang yer. Bukan bukan bukan.


Langgar lampu isyarat berleluasa di Putrajaya

PUTRAJAYA 15 Jun - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan banyak pemandu dan pengunjung ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat secara selamba di sana.

Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Abd. Ghani Ahmad berkata, sikap pemandu yang sering mengabaikan peraturan lalu-lintas termasuk melanggar lampu isyarat menyukarkan misi Putrajaya mencapai sasaran kemalangan maut sifar.

''Salah laku melanggar lampu isyarat memang biasa berlaku di Putrajaya, pemandu berbuat demikian secara selamba. Mereka tidak ambil peduli sehinggalah berlaku kemalangan.

''Bukan sahaja melanggar lampu isyarat, malahan saya terserempak kereta dan motosikal yang menceroboh laluan sehala dengan memandu menentang arus lalu-lintas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri karnival keselamatan jalan raya yang dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan di Presint 9 di sini hari ini.

Karnival tersebut telah dijayakan oleh PPj bersama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abd. Ghani berkata, CCTV yang dipasang di sekitar Putrajaya adalah untuk tujuan pemantauan tetapi rakamannya boleh digunakan untuk membantu siasatan polis sekiranya berlaku kemalangan.

''Rakaman CCTV di Putrajaya secara sendirinya tidak boleh digunakan untuk mengambil tindakan undang-undang (saman), tetapi polis boleh menggunakannya untuk mengenal pasti pesalah yang menyebabkan kemalangan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Dr. Tam Weng Wah membangkitkan sifat pemandu yang gemar meletak kenderaan di kawasan siar kaki di Putrajaya.

''Penduduk kadangkala mengadu siar kaki selalu rosak, padahal kerosakan itu disebabkan oleh pemandu yang meletakkan trak atau kenderaan mereka di situ.

''Keadaan ini akan menambah beban penyelenggaraan PPj kerana melibatkan kos yang agak tinggi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan