Dengan perjalanan menaiki bas ke pejabat
sejauh 14 km dalam Putrajaya (Presint 5 ke Presint 1) pun terpaksa
menempuh 19 lampu isyarat, beserta lampu-lampu isyarat yang tidak
bersensor semuanya sehinggakan memaksa orang menunggu 'jin berkenderaan'
melintas di waktu malam, apalah yang dimustahilkan dengan tabiat
pelanggaran lampu isyarat di Putrajaya? Pun begitu bukanlah kejadian
melanggar lampu isyarat sampai tumbang yer. Bukan bukan bukan.
Langgar lampu isyarat berleluasa di Putrajaya
PUTRAJAYA 15 Jun - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan
banyak pemandu dan pengunjung ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Putrajaya melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat secara selamba di
sana.
Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk
Abd. Ghani Ahmad berkata, sikap pemandu yang sering mengabaikan
peraturan lalu-lintas termasuk melanggar lampu isyarat menyukarkan misi
Putrajaya mencapai sasaran kemalangan maut sifar.
''Salah laku melanggar lampu isyarat memang biasa berlaku di
Putrajaya, pemandu berbuat demikian secara selamba. Mereka tidak ambil
peduli sehinggalah berlaku kemalangan.
''Bukan sahaja melanggar lampu isyarat, malahan saya terserempak
kereta dan motosikal yang menceroboh laluan sehala dengan memandu
menentang arus lalu-lintas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri karnival
keselamatan jalan raya yang dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah
Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan di Presint 9 di sini hari ini.
Karnival tersebut telah dijayakan oleh PPj bersama pelbagai agensi
kerajaan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (Miros) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Abd. Ghani berkata, CCTV yang dipasang di sekitar Putrajaya adalah
untuk tujuan pemantauan tetapi rakamannya boleh digunakan untuk membantu
siasatan polis sekiranya berlaku kemalangan.
''Rakaman CCTV di Putrajaya secara sendirinya tidak boleh digunakan
untuk mengambil tindakan undang-undang (saman), tetapi polis boleh
menggunakannya untuk mengenal pasti pesalah yang menyebabkan
kemalangan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Dr. Tam Weng Wah
membangkitkan sifat pemandu yang gemar meletak kenderaan di kawasan siar
kaki di Putrajaya.
''Penduduk kadangkala mengadu siar kaki selalu rosak, padahal
kerosakan itu disebabkan oleh pemandu yang meletakkan trak atau
kenderaan mereka di situ.
''Keadaan ini akan menambah beban penyelenggaraan PPj kerana melibatkan kos yang agak tinggi," katanya.