Khamis, 13 Jun 2013

Sejarah Ipoh II : Pengaruh Sultan Ismail

Tidak beberapa lama selepas Pulau Pinang ditakluk British, Kapten Glass menilai eksport timah tahunan Perak ialah 5,000 pikul yang sebahagian besarnya datang dari Kinta. Setelah perjanjian dengan Belanda tamat pada 1795, pengeluaran timah merosot.

John Anderson dalam laporan mengenai kepentingan ekonomi Perak pada tahun 1824 menyatakan terdapat 20 kampung dengan setiap kampung memiliki 10 hingga 50 rumah terdapat di Kinta, dari atas Kuala Chenderiang termasuk di pinggir Sungai Kampar dan Sungai Raia.

Semasa bangsa Eropah mula memasuki Kinta pada abad ke-19, mereka menemui banyak lombong jenis telaga lama yang memang tentulah berbeza dengan kaedah melombong orang Melayu pada masa itu. Orang Melayu memanggilnya Lombong Siam. A.Hale, Pemeriksa Lombong-Lombong menulis dalam tahun 1885 bahawa :

".. tradisi masyarakat setempat menyebut, pada zaman dahulu, Siam adalah pelombong di kawasan itu dan terdapat bukti kerja melombong dengan intensif telah dilakukan oleh seseorang dengan kaedah yang berbeza dengan yang digunakan oleh orang-orang Melayu tempatan."

Pengkaji kemudiannya menolak bahawa lombong tersebut dikerjakan oleh orang Siam. Tetapi Perak hakikatnya pernah diduduki Ligor pada tahun 1821 dan tidak mustahil Lombong Siam ini diusahakan secara kerahan tenaga bagi memenuhi tuntutan ufti Raja Siam."

Antara tahun 1800 hingga 1850, Ipoh masih belum dibuka dan Kampung Kepayang dan Kampung Paloh terus membangun dengan aktiviti tanaman padi dan melombong bijih timah. Pun begitu semakin banyak kawasan pendalaman seperti di Kantan, Chemor, Tanjong Rambutan, Ulu Pinji telah dilombong.

Orang-orang Cina yang dibawa masuk banyak menumpu ke kawasan Gopeng dan Teja. Pembukaan tanah untuk perlombongan oleh orang Melayu dengan skala besar dibuat oleh Kulup Riau.

Kulup Riau berketurunan Mendailing merupakan anak kepada seorang yang telah diberikan tanah untuk melombong di Jelentoh, Gopeng pada tahun 1861. Semasa pemerintahan Sultan Ali dari tahun 1865 - 1871, Haji Sulaiman dari Pulau Pinang membuat perjanjian dengan Kulup Riau untuk membekalkan tenaga kerja Cina. Mereka mengadakan perjanjian dalam urusan komisen jualan bijih.

Peta Pengkalang Pegoh



Apabila Penghulu Kampar, Tok Samah mengenakan cukai lebih tinggi di Kuala Dipang, Kulup Riau enggan membayarnya. Akibatnya, Tok Samah mengadakan sekatan di Sungai Kampar dan ini menyebabkan lombong Kulup Riau terpaksa ditutup.

Mereka kemudiannya membuat keputusan untuk mengangkut hasil timah keluar melalui Sungai Raia, lalu membuat laluan dari Gopeng ke Sungai Raia (Simpang Pulai).

Kulup Riau mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Ismail walaupun Raja Ismail adalah menantu Tok Samah. Kulup Riau membantu Raja Ismail mengembangkan aktiviti perlombongan di lombong Raja Ismail di Papan.

Raja Ismail naik menjadi Sultan Perak pada tahun 1871 setelah Raja Abdullah, pewaris takhta, tidak datang pada hari pertabalan. Majlis mesyuarat memilih Raja Ismail yang jawatannya sekadar Bendahara negeri sebelum ini menduduki takhta tanpa mengikut penggiliran sewajarnya.

Kulup Riau kemudiannya meminta bantuan Ah Quee membekal 300 orang pekerja Cina untuk mengusahakan lombong di Gopeng Hilir. Hasilnya yang lumayan membolehkan Kulup Riau membina jalan dari Gopeng ke Simpang Pulai sepanjang 16km untuk memudahkan aktivitinya.

Dia juga membawa masuk lebih 300 pekerja Mendailing untuk bekerja di lombongnya di Gopeng.

Hubungan baik Kulup Riau dengan Sultan Ismail tidak lama. Menurut Frank Sweetenham, Kulup Riau mula tidak senang dengan Sultan Ismail kerana Sultan Ismail mula bertindak merampas hasil bijih timah miliknya.

Kulup Riau yang mengusahakan lombong bijih timah di Gopeng dan membantu Raja Ismail di Papan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tok Samah, Penghulu Kampar yang mengenakan cukai hasil bijih Gopeng di Kuala Dipang dengan nilai yang tinggi.

Hubungan baiknya dengan menantu Tok Samah, Raja Ismail juga tidak lama kerana Raja Ismail setelah menjadi Sultan bertindak merampas hasil timahnya atas dasar cemburu. Tulisan Frank Swettenham mengenai Kulup Riau menyebut bahawa :

"Keizinan yang diberi Raja Abdullah kepada Raja Ismail untuk membuka lombong di Gopeng membuatkan Raja Ismail cemburu dengan kemewahan yang dikecapi Kulup Riau dan menghantar Raja Ngah dan orang-orangnya untuk menyerang Kulup Riau.."

Kisah Raja Ismail (yang kemudiannya menjadi Sultan) amat unik. Ini kerana dia telah dilantik menjadi Raja Bendahara (Perdana menteri) Perak pada tahun 1851 setelah keturunan Raja Bendahara terdahulu yang selayaknya tidak ada. Jawatan Raja Bendahara juga adalah jawatan yang diperturunkan. Bapa Raja Ismail, Raja Syed Hitam, berdarah raja kesultanan Siak di Sumatera Utara. Ibunya memang berdarah kerabat raja Perak dan merupakan anak Sultan Ahmaddin Shah yang memerintah dari tahun 1786 hingga 1806.

Raja Bendahara bertanggungjawab mempersiapkan keperluan Sultan dan mempunyai hak mengutip cukai di Kuala Kinta. Setiap tahun Raja Bendahara menghantar misi diraja yang dipanggil orang kalur, bermain muzik dan membawa perutusan diraja, mengutip cukai kepala 50 sen.

Selepas Sultan mangkat, Raja Bendahara bertanggungjawab menduduki takhta selama 7 hari sebelum upacara pertabalan Sultan baru yang menjadi Raja Muda sebelumnya, dilakukan.

Raja Ismail menjadi Raja Bendahara untuk 3 orang sultan. Apabila Sultan Ali mangkat pada tahun 1871, Raja Muda Abdullah tidak muncul untuk naik takhta kerana dipermalukan dengan tindakan isterinya lari mengikut Raja yang lain. Ketiadaan Raja Abdullah melayakkan Raja Yusuf untuk menaiki takhta mengikut sistem penggiliran yang melayakkannya menjadi Raja Muda tetapi dia menyerahkan takhta kerana tidak popular.

Atas kesepakatan pihak tertinggi, Raja Ismail diberi tanggungjawab menaiki takhta dan menjadi Sultan Perak ke-25 memakai gelaran Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah.

Tetapi kedudukan Sultan Ismail tidak lama. Oleh kerana banyak aduan tentang kutipan cukai yang melampau di pondok-pondok tol di kuala-kuala sungai dalam kawasan Kinta yang dipengaruhi Sultan Ismail, kekacauan demi kekacauan berlaku. Kesan Perang Larut juga merebak ke Kinta dan perbuatan anarki semakin berleluasa. Akibatnya pedagang negeri-negeri Selat mendesak agar campurtangan British di Perak.

Datuk Panglima Kinta Ke-9, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang mendirikan kota di Pengkalan Pegoh merupakan penyokong kuat Sultan Ismail. Kotanya di Pengkalan Pegoh dibina dengan memotong liku Sungai Kinta dan mewujudkan sebuah pulau dan dibina rumah-rumah di atas pulau tersebut. "Peguh" merupakan bahasa Perak yang menggambarkan sesuatu yang pegun dan teguh.

Sultan Ismail lari bersembunyi dan memasang strategi di Pengkalan Pegoh apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di mana British memilih untuk mengiktiraf Raja Abdullah sebagai sultan yang sah untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Datuk Panglima Kinta Ke-9, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang mendirikan kota di Pengkalan Pegoh memberi perlindungan kepada Sultan Ismail. Kotanya di Pengkalan Pegoh dibina dengan memotong liku Sungai Kinta dan mewujudkan sebuah pulau dan di bina rumah-rumah dalam kotanya.

Sultan Ismail yang lari bersembunyi dan memasang strategi di Pengkalan Pegoh apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di mana British memilih untuk mengiktiraf Raja Abdullah sebagai sultan yang sah untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Orang-orang Sultan Abdullah memburu Raja Ismail untuk menuntut kembali alat-alat kebesaran pertabalan sultan termasuk gajah-gajah diraja yang disimpan di Pengkalan Pegoh. Sultan Ismail ditawarkan jawatan Sultan Muda, pencen $1000 sebulan dan sebuah kawasan pemerintahan.

Jika tawaran ini diterima, mungkin Kinta bakal terpisah dari negeri Perak. Ini kerana Sultan Ismail lebih menumpukan kawasan lombongnya di Gopeng dan Papan. Tawaran ini sebenarnya diilhamkan British kerana hakikatnya mereka mahukan Kinta seperti mereka berjaya memisahkan Singapura dari Johor.

Sultan Abdullah tidak dapat ditabalkan dengan sempurna tanpa alat-alat dan syarat-syarat yang memenuhi keperluan pertabalan ini yang masih dalam genggaman Sultan Ismail.

Pada tahun inilah Perak berada dalam kekeliruan apabila Perak mempunyai dua Sultan. Mereka yang di hulu Sungai Perak menyokong Sultan Ismail manakala yang di hilir menyokong Sultan Abdullah yang dilantik British.

Keadaan menjadi haru biru dengan kewujudan sesetengah penempatan tak berpenghulu dan sesetengah lagi mempunyai dua penghulu.

Walaupun British akur dengan syarat Sultan Abdullah bahawa mereka tidak boleh mencampuri adat Melayu dan agama Islam, J.W.W. Birch menganggap situasi dua sultan ini membahayakan negeri Perak.

Sultan Ismail masih mendapat sokongan rakyat dan digambarkan sebagai Sultan Di Hulu atas sokongan Raja Yusof dan British berhadapan dengan kesukaran untuk berbincang dengannya. Menurut Birch, hanya persetujuan Sultan Ismail atas Perjanjian Pangkor dan kebersediaannya menerima pencen sahaja bakal membolehkan Perak kembali tenang.

Rancangan pertemuan antara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail oleh Birch tidak pernah berjaya kerana pertelagahan antara ketua-ketua puak yang berpecah belah kerana kekalutan ini. Pada saat inilah Birch sedar bahawa tindakan British menjadikan Sultan Abdullah merupakan satu kesilapan besar kerana rakyat Melayu Perak majoritinya menyokong Sultan Ismail.

Krisis ini menyebabkan British bertindak membawa masuk lebih ramai orang Cina ke negeri Perak dan ini disifatkan zaman di mana golongan kedua pendatang China dibawa masuk dan Cina-Cina inilah yang tidak berasimilasi dengan orang Melayu dan mewariskan identiti Cina mereka sehingga hari ini.

Ini berbeza dengan Cina-cina awal yang masuk antara tahun 1776 - 1850 sebelum itu kerana banyak diantara mereka telah memeluk Islam, dan ramai juga yang beragama Islam, bergaul dengan orang Melayu dan menjadi sebahagian dari orang Melayu (yang berwajah Cina) hari ini di daerah Kinta.

Bersambung..

Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis

FADLI MUHAMMAD

2 ulasan:

  1. Penceritaan sejarah yg baik..sambungan di mana tuan

    BalasPadam
  2. Penceritaan sejarah yg baik..sambungan di mana tuan

    BalasPadam